07 Ogos 2009

Pegawai SPRM terakhir lihat Teoh hidup, beredar jam 6.10 pagi

Terdapat 10 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada dalam pejabat SPRM Selangor antara jam 8 malam 15 Julai hingga 8 pagi 16 Julai - hari Teoh Beng Hock ditemui mati.

Mereka termasuk seorang penolong pengarah SPRM negeri, yang tidak disebut namanya, yang dilihat meninggalkan bangunan itu antara jam 4 pagi hingga 8 pagi 16 Julai.

Selain pegawai kanan berkenaan, yang lainnya dipercayai dua atau tiga pegawai yang menyoalsiasat Teoh dan seorang pegawai yang merakam kenyataannya.

Juga terdapat seorang pegawai yang memakai baju hitam biasa - dipercayai orang terakhir melihat Teoh masih hidup - beredar pada jam 6.10 pagi.

Butir-butir tersebut dinyatakan sewaktu inkues kematian Teoh tengahari tadi oleh dua pengawal keselamatan yang bertugas pada malam berkenaan di Plaza Masalam, tempat terletaknya pejabat SPRM Selangor.

Teoh, yang dipanggil ke pejabat SPRM Selangor untuk disoalsiasat pada 15 Julai, ditemui mati pada hari berikutnya di koridor tingkat lima bangunan tersebut.

Dia dipercaya jatuh dari tingkat 14 bangunan tersebut, tempat dia disoalsiasat.

Dua pengawal keselamatan - Wan Rosli Wan Adam (saksi kelima) dan Abdul Rahman Rahim (saksi keenam) - mengecam pegawai-pegawai SPRM itu dari gambar yang diambil dari rakaman CCTV dari kaunter lobi Plaza Masalam antara waktu tengah malam dan 8 pagi 16 Julai.

Mereka menjawab soalan dari peguam Tan Hock Chuan, yang mengetuai pasukan pendakwaraya dari pejabat peguam negara yang turut dianggotai DPP Mohd Abazafree Mohd Abbas.

Dalam satu rakaman yang ditunjukkan kepada Wan Rosli, Teoh dilihat berjalan di lobi antara tengah malam dan jam 4 pagi.

Satu lagi gambar juga dikenalpasti oleh Wan Rosli diambil sewaktu dia bertugas dan menunjukkan empat pegawai SPRM bersama seorang lelaki Cina (bukan Teoh) masuk ke bangunan tersebut pada kira-kira jam 12.52 pagi.

MalaysiaKini/-

Tiada ulasan: