17 September 2009

Bekas tahanan ISA tidak perlu berterima kasih kepada kerajaan

KUALA LUMPUR, 16 Sept: Walaupun lima orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dibebaskan, mereka tidak perlu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, kata Naib Presidennya, Salahuddin Ayub.

"Apa perlu mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menghukum kita tanpa bicara yang tidak mahu lagi menyiksa kita semata-mata kerana bimbang kepentingan politik mereka akan terjejas jika terus menyiksa orang yang tidak dibuktikan kesalahannya.

"Perlu diingat bahawa apabila mereka berhenti menyiksa, ia dibuat kerana kepentingan politik mereka serta untuk dijadikan modal kempen mereka. Bukan kerana mereka mempunyai sifat ihsan," tegas beliau.

Salahuddin juga mengulangi komitmen PAS yang tetap bersedia bersama-sama membantu mereka sebagai kesinambungan penglibatannya dalam Himpunan Mansuhkan ISA 1 Ogos lalu dan lain-lain aktiviti anti-ISA selama ini

"Walaupun PAS parti golongan tertindas atau mustadh'afin, tetapi kita tetap dengan komitmen untuk membantu sesiapa sahaja yang tertindas.

"Bagi PAS, walaupun mereka tidak lagi ditahan di dalam kem tahanan ISA, tetapi ia tidak membebaskan mereka dari status golongan tertindas. Mereka tetap golongan tertindas," katanya.

Salahuddin juga menawarkan bantuan guaman dari PAS jika mereka yang dibebaskan itu mahu mengambil tindakan undang-undang berikutan penahanan mereka dahulu.

"Walaupun kita amat bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. berikutan pembebasan mereka, tetapi isu yang sebenar yang mesti diambilkira oleh semua pihak ialah mengapa mereka ditahan tanpa bicara?

"Prinsip keadilan Islam dan juga prinsip keadilan universal menetapkan bahawa seseorang mesti dibuktikan kesalahannya dalam perbicaraan yang adil dan telus sebelum dijatuhkan hukuman.

"Sebab itulah pembebasan mereka bukan isunya. Isu yang mesti dibangkitkan tanpa henti ialah, mengapa mereka ditahan tanpa bicara," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu sambil menekankan bahawa persoalan itu tidak berakhir dengan pembebasan mereka.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pejuang tegar Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Norlaila Othman bagi pihak pejuang anti-ISA yang lain.

Norlaila ialah isteri salah seorang seorang yang dibebaskan semalam, Mat Sah Mohd Satray.

Selain Mat Sah, turut dibebaskan ialah Dr Abdullah Daud, Ahmad Kamil Md Hanapiah, Mohd Nasir Ismail dan Muhammad Amir Md Hanafiah.

Tanpa sebarang perbicaraan yang adil dan telus, mereka ditahan kerana dituduh terlibat dengan Jemaah Islamiah (JI) yang dituduh gerakan pengganas.

Dr Abdullah, seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, merupakan tahanan yang paling lama ditahan iaitu selama tujuh tahun enam bulan. Beliau ditahan pada 3 Januari 2002.

Mat Sah, yang pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, ditahan pada April 2002 manakala Ahmad Kamil, Mohd Nasir dan Muhammad Amir ditahan di kem Kamunting mulai 30 Mei 2007.

Ketika mengumumkan pembebasan mereka di Putrajaya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa, pembebasan mereka "tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya kecil Bagan Pinang".

Sementara itu, Norlaila yang kini berada di Sabah menyatakan, beliau amat bersyukur kepada Allah berikutan pembebasan tersebut walaupun memeranjatkannya.

"Panggilan dari Rahim dan Rahmah dari Malaysiakini amat memeranjatkan saya.

"Kenapa? Kerana mereka kata Menteri Dalam Negeri kata, Mat Sah antara lima orang yang akan dibebas dari ISA!!!

"Beberapa minit lepas itu, telefon saya mendapat panggilan bertalu-talu tanpa henti dari semua bangsa di Malaysia.

"Mesej sms? Beratus-ratus jumlahnya dan ada yang saya belum sempat jawab lagi," tulis beliau dalam blognya, lailagmi.blogspot.com

Beliau, yang dilaporkan akan mengadakan sidang akhbar setelah kembali ke Kuala Lumpur, tidak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia.

Dalam Himpunan Mansuhkan ISA 1 Ogos lalu, Norlaila dan anaknya Suhaib, 16 tahun, adalah antara yang ditangkap dan dilokap oleh pihak polis.

Harakahdaily/-

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ucaplah terima kasih atas kezaliman kerajaan BN, nanti dikatakan tidak bersyukur

Tanpa Nama berkata...

bila nak pilihanraya, BN mula tunjuk baik, lepas pilihanraya tangkap...

Tanpa Nama berkata...

untuk menunjukkan ISA baik, jadi bolehlah Isa(bekas MB) jadi calon di bagan pinang...

Tanpa Nama berkata...

terima kasih pasai penjarakan aku,
terima kasih pasai dera mental aku,
terima kasih pasai meranakan bini aku,
terima kasih pasai rugikan hidup aku
terima kasih susah kan anak aku
terima kasih pasai suka menyusahkan keluarga aku
terima kasih kerana menafikan hak aku
terima kasih wahai pengamal undang-undang tah apa-papa tah.
yang nyata bukan hukum islam

baei berkata...

Pada saya elok juga mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana memberi peluang kepada mereka berjumpa masyarakat. Dengan pembebasan ini, mereka berlima boleh ke medan pilihanraya di bagan pinang. Inilah masa terbaik untuk mereka jelaskan kepada masyarakat apakah kebaikan isa dan keburukannya.

Tanpa Nama berkata...

agak Teoh Beng Hock kata terima kasih kat kerajaan BN macam mana agaknya?????

Yan berkata...

Terima kasih kerana melahirkan ramai jiwa yang anti kerajaan. Melahirkan ramai pejuang yang berazam menjatuhkan BN , menanam rasa jijik dan benci dengan kezaliman BN mengekalkan ISA.