17 September 2009

MIC Gantung Keanggotaan Perwakilan Berhubung Kenyataan Kalungan Selipar

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu pada Selasa berkata perwakilan yang mencerca mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan agung parti itu Ahad lepas telah digantung keanggotaannya sehingga tindakan lanjut daripada jawatankuasa disiplin parti.

"Saya telah memutuskan untuk menggunakan kuasa yang ada pada saya sebagai Presiden mengikut perlembagaan MIC untuk menggantung keanggotaan perwakilan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dengan beberapa pemimpin kanan MIC dan mereka bersetuju tindakan itu amat perlu buat masa ini.

Katanya Jawatankuasa Disiplin akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat parti berhubung tindakan yang akan diambil terhadap perwakilan itu.

Samy Vellu berharap dengan keputusan itu, isu berkenaan dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti perwakilan terbabit.

Sementara itu, Naib Presiden MIC Datuk Dr S.Subramaniam yang menyokong tindakan itu berkata tiada seorangpun pemimpin parti bersetuju dengan tindakan perwakilan itu.

"Walaupun perwakilan itu kecewa dengan apa yang nampaknya campur tangan secara langsung Tun Dr Mahathir bagi menentukan keputusan (pemilihan MIC) tetapi mereka semua (pemimpin MIC) kecewa dengan perwakilan itu kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan budaya kaum India," katanya.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata parti itu akan memastikan tindakan yang sesuai diambil terhadap perwakilan itu.

"Perlu diingatkan bahawa perwakilan yang bercakap selepas dia mengutuk cadangan (perwakilan itu) dan memberitahu dia bahawa ia bertentangan dengan kesopanan kaum India," katanya.

-- BERNAMA

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sekarang digantung, nanti diberi kalungan bunga..