04 September 2009

Menangi pilihan raya, PAS ucap tahniah pada DPJ

KUALA LUMPUR, 2 Sept: Kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) pada pilihan raya umum negara itu Ahad lalu membuktikan rakyatnya berani membuat perubahan demi masa depan yang lebih baik, kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Beliau ketika diminta mengulas berhubung kejayaan DPJ menewaskan parti pemerintah Jepun, Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Taro Aso, merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat negara itu yang berani membuat pembaharuan dengan menolak LDP yang telah memerintah Jepun selama 54 tahun.

"Saya mengucapkan tahniah kepada DPJ atas kemenangan besar dan bergaya dalam pilihanraya mereka, dan tahniah kepada rakyat Jepun yang telah menolak parti yang telah berakar umbi selama 54 tahun di Jepun.Mereka mempunyai keyakinan tinggi bahawa masih ada parti yang mampu membawa satu pembaharuan kepada masa depan Jepun,"jelasnya.

Malah kata Mahfuz juga, slogan 'Negara Berkebajikan', yang dibawa DPJ, sama dengan slogan PAS pada pilihanraya umum 2008 merupakan faktor penting kemenangan mereka.

Slogan berkenaan ujarnya, berjaya meyakinkan rakyatnya bahawa DPJ mampu menjanjikan masa depan yang baik untuk mereka. Ini sekaligus menunjukkan rakyat negara itu bersikap terbuka dengan memberi peluang kepada parti lain menggantikan parti yang telah lama bertapak di negara matahari terbit itu.

"Mereka juga dalam cuba memberikan keyakinan kepada rakyat, membawa slogan negara berkebajikan, satu slogan yang sama dibawa oleh PAS pada pilihan raya umum lalu. Rakyat Jepun merasakan ianya satu yang terbaik buat masa depan mereka dan membuat keputusan memilih DPJ," Katanya.

Sambil menyifatkan kemenangan tersebut satu perkembangan yang baik kepada politik dunia, beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat bersedia untuk berkerjasama dengan DPJ untuk memastikan ekonomi negara ini terus berkembang jika Pakatan Rakyat turut diberi mandat untuk memerintah negara.

"Pakatan Rakyat khususnya PAS bersedia untuk bekerjasama dengan DPJ untuk pastikan negara kita terus dapat pelaburan yang lebih baik dan akan menyediakan ruang-ruang untuk pelaburan negara jepun jika kita diberi mandat untuk memerintah negara ini,"katanya.

DPJ memenangi 308 daripada 480 kerusi di Dewan Rendah pada pilihan raya Parlimen negara itu sekali gus menamatkan tempoh lebih separuh abad pemerintahan konservatif LDP.

Parlimen dijangka mengesahkan Hatoyama, 62, sebagai Perdana Menteri dalam masa dua minggu dan beliau bersedia membentuk pakatan dengan parti-parti sekutu lebih kecil seperti Parti Demokratik Sosial dan Parti Baru Rakyat. - mks.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: