Oleh : mohd naim mohd zain
Kita sedang berada dalam bulan Ramadan Al-Mubarak, bulan kurnia Allah SWT kepada orang-orang yang beriman. Apabila tibanya bulan Ramadan Al-Mubarak, Rasulullah s.a.w. menyampaikan ucapannya, yang bermaksud: Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang mulia, padanya satu malam yang kelebihannya lebih baik daripada 1,000 bulan, bulan yang pada awalnya kerahmatan, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.
Pada bulan ini, kita dijemput menjadi tetamu Allah Taala untuk menghadiri majlis hidangan-Nya. Disediakan untuk kita hidangan yang terdiri daripada makanan roh dan jasad, kerana Allah Taala menjadikan manusia dengan dua fitrah iaitu unsur roh dan unsur jasad, kedua-dua unsur ini memerlukan makanan. Makanan ini penuh dengan kelebihan, makanan roh ialah iman, ilmu, takwa dan segala sifat dan akhlak yang mulia manakala makanan jasad ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.
Allah SWT telah menentukan tugas manusia yang berbeza dengan tugas malaikat di alam roh dan berbeza dengan binatang yang hanya menjaga kepentingan jasad. Manusia mempunyai kedua-dua unsur iaitu unsur malaikat dan binatang. Sekiranya manusia menunaikan tuntutan roh dengan sebenarnya dan dalam masa yang sama berjaya menghadapi hawa nafsu kebinatangan, maka manusia akan menjadi makhluk yang lebih mulia daripada malaikat seperti para nabi dan orang-orang yang soleh. Di sana ada manusia yang lupa kepada makanan roh dan mengendalikan jasadnya seperti binatang, maka manusia itu menjadi lebih jahat daripada binatang.
Allah SWT melatih, mendidik dan memberi tarbiah kepada kita pada bulan Ramadan Al-Mubarak dengan hidangan menunaikan kewajipan berpuasa pada waktu siang hari, memberi sedekah, menjamu makanan kepada saudara-mara dan sahabat handai, jiran dan orang-orang yang memerlukan pertolongan, menghidupkan malam dengan sembahyang tarawih, bertahajud, tadarus al-Quran dan sebagainya. Semuanya ini dijanjikan kelebihannya lebih besar daripada bulan-bulan yang lain.
Ibadat puasa sahaja dijanjikan Allah SWT dengan pahala yang tidak terhingga banyaknya. Seseorang manusia yang melakukan kebaikan akan diberikan dari tiap-tiap satu kebaikan itu 10 pahala.. Adapun puasa, Allah Taala berfirman, yang bermaksud: Sesungguhnya puasa itu untuk Aku, maka terserahlah kepada-Ku untuk menentukan pahalanya.
Betapa besarnya pahala kepada orang-orang yang berpuasa, betapa ruginya mereka yang tidak berpuasa. Sesiapa sahaja yang tidak berpuasa satu hari dengan tiada sebarang keuzuran yang membolehkannya berbuka, walaupun diwajibkan kepadanya menggantikan puasa itu pada hari yang lain, namun dia tidak akan dapat menggantikan pahala puasa yang ditinggalkan satu hari itu walaupun dia berpuasa sepanjang umurnya. Itulah kelebihan yang dijanjikan Allah Taala..
Jaga diri daripada perkara menghilang pahala puasa
Marilah kita menunaikan ibadat yang diwajibkan Allah Taala itu dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang diwajibkan serta dengan adab-adab puasa yang menambahkan kelebihannya supaya kita menyedari bahawa puasa itu bukan sekadar menjaga diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa pada waktu siang hari iaitu tidak makan, minum, bersetubuh dengan isteri, tidak memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka tetapi seseorang itu juga perlu menjaga dirinya daripada perkara yang menghilangkan pahala puasa walaupun tidak membatalkan puasa.
Seseorang itu perlu memelihara anggota dan pancainderanya daripada melakukan perkara-perkara dosa dengan memelihara lidah, mata dan telinga supaya tidak melakukan perkara-perkara yang menghilangkan pahala puasanya. Itulah pendidikan puasa yang merupakan makanan rohani yang dihidangkan oleh Allah SWT pada bulan Ramadan.
Kita juga dijanjikan fadilat iaitu diberikan pahala pada makanan jasad. Kita makan dan minum pada bulan puasa bukan sahaja untuk kenyang tetapi diberikan pahala. Begitu juga kelebihan mereka yang bersahur. Allah SWT menjadikan kelebihan orang yang makan sahur sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Sesungguhnya Allah Taala dan para malaikat bersalawat kepada orang-orang yang bersahur.
Ini menunjukkan bahawa bukan sahaja ibadat puasa, bukan sahaja perkara-perkara kebaikan yang dilakukan diberi pahala, bahkan makan dan minum kita pada bulan puasa juga diberi pahala oleh Allah Taala. Itulah keistimewaan pada bulan Ramadan Al-Mubarak dan banyak lagi keistimewaan yang lain yang disediakan oleh Allah Taala supaya kita mencapai natijah puasa yang baik.
Kita menerima kerahmatan daripada Allah SWT pada awalnya, mendapat keampunan pada pertengahannya dan dimerdekakan daripada api neraka setelah kita meninggal dunia sekiranya kita menunaikan puasa dengan sebaik-baiknya. Itulah di antara hidangan yang disediakan oleh Allah Taala. Marilah kita menyahut jemputan Allah SWT di bulan yang penuh dengan kemuliaan itu.
Firman Allah Taala yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah: 183)

1 ulasan:
beriman kepada allah dan rasulnya serta hari akhirat...
Catat Ulasan