12 September 2009

Pemakaian Hijab Di Bulan Ramadan

PERKARA yang perlu diberi perhatian oleh setiap muslimah, adalah supaya ada dalam hatinya rasa takut jika ibadat puasanya tidak diterima di sisi Allah SWT, dengan mentaati segala titah perintah Allah dengan menyembah dan tunduk kepada-Nya dan bukan 'menyembah' bulan Ramadan.

Memakai hijab (tudung kepala) khusus di bulan Ramadan adalah antara perkara atau amalan yang baik yang akan diberi ganjaran pahala yang besar, tetapi bagaimana pula di luar Ramadan?

Jadikan pemakaian hijab di bulan Ramadan sebagai permulaan perubahan dalam diri. Ketahuilah bahawa memakai hijab adalah perintah secara langsung daripada Allah, bukannya cadangan Nabi Muhammad atau pandangan ulama fiqh. Ia wajib dipakai bukan sahaja dalam bulan Ramadan, malah sepanjang hidup hanya di depan lelaki ajnabi atau wanita kafir, sementara bersama suami, ayah, ayah mertua, adik-beradik lelaki atau mahram adalah tidak wajib.

Mohonlah kepada Allah dalam Ramadan, agar dicampakkan dalam hati rasa tanggungjawab untuk memakai hijab, rujuklah ayat 30-31 surah an-Nur (24) dan ayat 59 surah al-Ahzab (33) dan mentelaah kitab agama yang membicarakan persoalan hikmah Allah mewajibkan pemakaian hijab ke atas muslimah.

Mohonlah keampunan Allah terhadap kesalahan tidak memakai hijab sebelum Ramadan pada tahun ini. Ramadan memberi peluang seluas-luasnya untuk kembalikan hamba kepada Tuhan. Rasakanlah dalam diri tanggungan dosa-dosa besar kerana tidak berhijab yang merupakan kesalahan amat besar yang hanya boleh ditebus dengan taubat kepada Allah.

Akhir sekali, perbetulkan niat untuk menjadi hamba Allah yang baik, kerana kita tidak tahu, apakah kita boleh bertemu dengan Ramadan pada tahun hadapan. Sehubungan itu baginda s.a.w. bersabda:

"Kalaulah hamba-hamba Allah tahu apa yang ada dalam bulan Ramadan, mereka akan bercita-cita agar sepanjang tahun itu dijadikan Allah sebagai bulan Ramadan."

Sama-samalah kita merenung agar Ramadan tahun ini adalah yang terbaik yang pernah kita lalui.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: