29 September 2009

Toleransi kaum di Kelantan jadi contoh, kata Nik Aziz

KOTA BHARU, 27 Sept: Kejayaan PAS menerajui Kelantan hampir 20 tahun adalah kerana mendapat sokongan padu dari semua pihak termasuk masyarakat Tionghua, India dan Siam di negeri ini.

Ia juga terhasil dari perpaduan yang kukuh antara berbilang kaum dan sering berada semeja di antara rakyat menjadikan Kelantan sebagai model perpaduan kaum yang sejati.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika berucap di majlis Hari Raya Aidil Fitri anjuran Ahli Parlimen Kota Bharu bertempat di Dewan Perniagaan Cina.

Majlis tersebut diadakan khas untuk meraikan masyarakat Kota Bahru dari pelbagai kaum iaitu kalangan Tionghua, India dan Siam.

Nik Aziz juga berkata semenjak beliau mengambil alih pucuk pentadbiran negeri ini, sudah banyak perubahan yang dilakukan dan ia melibatkan semua kaum seperti wujudnya skim Kifaalah untuk warga emas, skim Armalah untuk kaum ibu tunggal, perlantikan penghulu dan ahli majlis Kerajaan Tempatan dari kalangan Tionghua, Siam dan juga India.

Dengan melibatkan semua kaum dalam pentadbiran kerajaan negeri, ia boleh membantu pihak kerajaan untuk menyampaikan pelbagai maklumat terus kepada masyarakat dan ini boleh menjauhkan prasangka dan iri hati dari semua kaum.

Menyentuh isu perarakan kepala lembu yang berlaku di negeri Selangor oleh pihak-pihak tertentu baru-baru ini, Nik Aziz melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada masyarakat India di Kelantan kerana tidak mengikut rentak yang berlaku di negeri lain.

(Gambar:Sebahagian orang ramai dari pelbagai kaum yang menyertai majlis Aidil Fitri anjuran wakil rakyat PAS Kota Bharu)

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada masyarakat India di Kelantan kerana masih dapat bersabar dan memahami suasana pentadbiran Kelantan berbeza dengan negeri-negeri lain dan ini adalah hasil persefahaman seluruh kaum di negeri ini dan di Kelantan, kita tidak pernah menimbulkan isu-isu sensitif menyentuh pelbagai agama lain,"ujar beliau.

Beliau juga berharap majlis aidilfitri seperti ini diperluaskan ke jajahan lain dalam menyatupadukan seluruh rakyat dan ini boleh dijadikan sebagai satu contoh bahawa Kelantan sememangnya mempunyai pelbagai kaum dan hidup dalam keadaan aman dan damai.

Ia dinikmati walaupun sebelum ini pelbagai rintangan timbul seperti isu pengharaman judi, penyekatan jualan arak dan lain-lain lagi.

"Kini apa yang kita lakukan pada awal pemerintahan di tahun 1990 dulu masih lagi dapat dikekalkan, judi kita haramkan terus penjualannya dan mendapat sambutan baik dari kaum lain, manakala penjualan arak pula kita hadkan premis jualannya juga tidak menimbulkan kemarahan masyarakat bukan Islam,"katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu,Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika berucap meraikan kedatangan masyarakat kaum lain ke majlis tersebut berharap keharmonian kaum di Bandar Kota Bharu menjadi lambang perpaduan kukuh di antara kaum di negeri Kelantan.

"Saya ingin menarik perhatian rakan-rakan dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat di negeri luar daripada Kelantan agar sering mendamping rakan-rakan dalam PAS dan menyeru mereka menjadikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebagai contoh kepada penggerak perpaduan kaum,"katanya.

Seramai 600 orang dari pelbagai kaum hadir di majlis tersebut. Turut hadir di majlis Aidil Fitri Bersama Ahli Parlimen Kota Bharu ialah ketiga-tiga Adun di Parlimen Kota Bharu, Datuk Annuar Tan Abdullah (Kota Lama), Datuk Takiyuddin Hassan (Bunut Payong) dan Hajjah Rohani Ibrahim (Tanjong Mas) wakil Dari DAP, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, wakil dari PKR, Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani, wakil Konsul Thai di Kota Bharu dan Yang diPertua MPKB-BRI Ismail Mahmood.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Datuk NikAziz seorang Tokoh yg berwibawa dan berjiwa rakyat. Beliau hormati semua bangsa dan adil kepada mereka. Semua rakyat msia kena contohi insan mulia yg bernama Datuk Nik Aziz. utk pengetahuan, saya seorang India yg megah dengan Tok Guru yg begitu simple dan mulia.