29 September 2009

Gobala ditahan ketika hadiri perbicaraan

Polis menahan ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan di luar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

Ia berkaitan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret Tapah bulan lalu.

Sebelum itu, Gobalakrisnan tiba di mahkamah untuk menghadapi tuduhan menghalang anggota polis pada hari penamaan calon pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir pada 17 Ogos lalu.

Gobalakrishnan sedang berjalan keluar dari bilik mahkamah bersama anggota keluarganya serta peguamnya apabila dia didatangi anggota polis yang membawanya menaiki sebuah van putih ke ibupejabat polis Seberang Perai Tengah di Bandar Baru Perda.


Beliau kemudiannya dibawa ke balai polis Tapah. Gobalakrishnan dijangka dihadapkan ke mahkamah di Tanah Rata pagi esok berhubung kes pada 2004.

Anak lelaki Gobalakrishnan - Pravin - ketika dihubungi berkata polis menunjukkan waran tangkap bertarikh 20 Ogos tetapi tidak menyatakan sebab dia ditahan.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini menetapkan 28 Oktober ini untuk keputusan permohonan Gobalakrishnan bagi mendapatkan semula seluar dan tali pinggang yang dipakainya pada hari penamaan calon tersebut.

Majistret Mohd Azhar Hamzah menetapkan tarikh itu bagi membolehkannya mengkaji permohonan peguam Gobalakrishnan, JM Martin untuk mendapatkan kembali pakaian milik anak guamnya itu yang dibuat mengikut Seksyen 20 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Dalam prosiding hari ini, Martin memohon supaya mahkamah memerintahkan polis memulangkan pakaian anak guamnya itu yang dipakainya pada hari dia dikatakan menghalang tugas penjawat awam di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, 17 Ogos lalu.

Beliau berhujah mengikut Seksyen 20 KAJ, polis boleh memeriksa dan mengambil segala barang yang ada pada badan tertuduh selain daripada pakaian yang menutup badannya dan menyimpannya di tempat yang selamat.

Katanya seluar yang koyak dan tali pinggang itu merupakan bukti penting bagi kes itu dan juga satu saman sivil yang dikemukakan anak guamnya terhadap polis berhubung kejadian itu.

Pada 18 Ogos lalu, Gobalakrishnan dihadapkan ke Mahkamah Majistret itu kerana menghalang seorang pegawai polis menjalankan tugas.

Dia didakwa menggunakan kekerasan bagi menghalang M. Karunamuthi daripada menjalankan tanggungjawabnya di hadapan IKBN, pada jam 11 pagi, 17 Ogos 2009.

Dia dituduh menurut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hasnurliza Mohd Radzi.

Sementara itu, sebaik hendak meninggalkan bangunan mahkamah, Gobalakrishnan ditahan polis dan dibawa ke Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Bandar Perda, di sini.

Menurut Martin, beliau difahamkan anak guamnya itu ditahan berikutan satu waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya berkaitan kes mahkamah di Perak pada 2004.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: