29 September 2009

ASALNYA AIDIL FITRI

ismailybungsu@yahoo.com
http://groups.yahoo.com/group/Watan_Sabah


SEGERALAH kita panjatkan ucap syukur kepada Allah yang menjadikan kita kerana telah memberikan rahmat yang bukan sedikit banyaknya dan kita sendiri masih terus menikmati nikmat itu hingga kini serta menyebabkan kita terus bernafas dan hidup dalam keadaan yang berbahagia, aman dan harmoni dimana ternyata telah kita selesaikan5berpuasa tanpa ada apa-apa halangan kecuali mereka yang memang berhalangan atas sebab-sebab tertentu yang bisa dimaafkan.

Hari ini ternyata tanggal 22 september, 2009. nah, saya mulakan dengan kata bismillahir rohmanir rohim sambil menyebut nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang dan tentu saja saya mulakan ceritanya kala Rasulullah datang ke kota Madinah dimana para penghuni kota Madinah kala itu sememangnya telah mempunyai dua perayaan yang dinamakan “Nairuz” dan “Mahrajan”

Kedua-dua perayaan yang saya maksudkan itu adalah berasal dari zaman Parsi Kuno dan bila Nabi menyaksikan perayaan berkenaan berlaku di Madinah, maka langsung beliau bersabda bahawa Allah menukar kedua-dua hari raya alias perayaan itu dengan hari yang lebih baik dan cukup mulia, iaitu hari raya aidil fitri dan aidil adha alias hari raya korban dan sabda ini memang pernah diriwayatkan oleh yang namanya Abu Daud dan Nasai.

Nabi sebenarnya tidak pula menghapuskan kedua-dua perayaan yang namanya Nairuz dan Mahrajan itu, malah kedua-dua perayaan itu tetap dikekalkan seperti asalnya, cuma saja yang berbeda ialah cara meraikannya iaitu diubah sedikit dan disesuaikan dengan peristiwa-peristiwa yang ada hubungannya dengan syariah Islam serta disertakan dengan nilai-nilai yang bersifat rohaniah dan “ijtima-iyah” alias kemasyarakatan, sedang acara-acara pesta yang mewah menuruti kemahuan nafsu seperti yang terdapat dalam perayaan Nairuz dan Mahrajan yang tidak terbatas ditiadakan alias diberhentikan/dihapuskan.

Nah, sejak itulah atas perintah Allah lewat Nabi junjungan kita perayaan yang sekarang ini dinamakan aidil fitri dilaksanakan/dirayakan setelah kaum muslimin mengerjakan sebulan lamanya ibadah puasa yang sifatnya sebagai tanda hari kemenangan dari perjuangan mengendalikan segala hawa nafsu dan ianya ditetapkan pada 1 syawal sempena tahun kedua hijrah bersamaan dengan tahun permulaan diwajibkan mengerjakan ibadah puasa itu sendiri.

Puncak merayakan aidil fitri tentunya dengan cara melakukan sembahyang hari raya dan dengan secara tidak langsung ia merupakan tindakan yang disebut sebagai “ta-abbudi” yang maknanya pernyataan rasa syukur kaum muslimin kepada Allah yang telah mengurniakan nikmat yang amat besar dan tak terkira jumlahnya.

Manakala hukum sembahyang hari raya sebenarnya adalah bersifat sunat “muakkad” disamping ianya merupakan kenyataan dan perwujudan tentang adanya roh dan syiar Islam yang bersifat antarabangsa sebab ianya dilakukan serentak oleh kaum muslimin di seluruh dunia tanpa mengenal warna kulit, bangsa, hina atau mulia serta berpangkat maupun tidak berpangkat.

Setahu saya sebahagian ulamak termasuk Ibnu Qayyim memberikan kesimpulan bahawa sembahyang hari raya itu lebih sesuai apabila dilakukan di tempat terbuka supaya syiar Islam lebih nyata dan tersebar luas kerana telah diyatakan alias diriwayatkan bahawa Nabi sendiri senantiasa mendirikan sembahyang hari raya secara berjemaah di suatu tempat yang dinamakan Musolla.

Musolla adalah merupakan tempat terbuka seperti padang yang luas yang letaknya berhampiran pintu gerbang masuk ke kota Madinah pada sebelah timur dan yang nyata/betulkan saya kalau tersilap bahawa Nabi sendiri tidak pernah mengerjakan solat aidil fitri di masjid kecuali hanya sekali sahaja/itupun atas sebab hujan yang tidak mengizinkan baginda bersembahyang di Musolla atau tempat-tempat terbuka ketika itu.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Athiyah Rasullullah telah menyatakan bahawa muslimin disuruhnya membawa ke luar anak-anak gadis dan wanita-wanita yang sedang haid, pada kedua-dua hari raya yang dimaksudkan supaya mereka turut sama menyaksikan kebaikan sambil mendengarkan doa kaum muslimin dimana wanita-wanita yang haid pula hendaklah menjauhkan diri dari tempat solat itu sendiri.

Rasulullah telah menetapkan bahawa kedua-dua hari raya itu dirayakan haruslah dengan cara menyemarakkannya dengan ucapan-ucapan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis dan kalimat yang biasanya diucapkan dalam bahasa arab dan setelah diterjemah ke bahasa Malaysia ia membawa makna seperti berikut: “Tiada Tuhan kecuali Allah, Allah Yang Maha Agung, segala puja puji bagi Allah semata-mata”. Kalimat-kalimat tauhid dan takbir serta tahmid yang dimaksudkan diucapkan semenjak matahari terbenam pada akhir ramadhan sampai selesai solat aidil fitri.

Nah, segala apa saja yang diucapkan tentunya diharapkan sangat agar kaum muslimin dapat merubah pemikiran termasuk cara mereka bertindak yang disesuaikan dengan ajaran agama Islam supaya lebih sedar, insaf dan semakin menambah keyakinan tentang kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya sekali.

Dan memang nyata dan benar bahawa kala apa saja ajaran perintah Allah dilakukan oleh kaum muslimin, maka janji-janji Allah seperti yang terdapat lewat surah An-Nur ayat 55 akan pasti ditunaikan dimana ada tiga hal yang dijanjikan, iaitu menjadi penguasa di muka bumi, keduanya agama yang kuat dan teguh, manakala ketiganya pula ialah jaminan keamanan rohaniah.

Sekali lagi saya ulangi bahawa ketiga-tiga perkara yang dijanjikan hanya akan ditunaikan oleh Allah setelah kita melakukan apa saja yang diperintahkan-Nya lewat surah yang sama pada ayat terakhir yang maksudnya telah diperintahkan oleh Allah untuk terus menyembah-Nya dan tidak mempersekutukan-Nya seperti yang difirmankan: “Kamu harus menyembah Aku dan jangan mempersekutukan Aku dengan sesuatu”

Allah pada hakikatnya memang bersifat “Nashana Abdah” iaitu menolong setiap hambanya dan hal tersebut telah dijelaskan melalui firmannya seperti berikut: “kalau kamu menolong agama Allah, maka Allah akan pasti menolong kamu dan akan diteguhkan-Nya pendirian kamu”(Muhammad:7)

Selain daripada mengadakan solat aidil fitri dan kemudian mengagung-agungkan nama Allah juga harus menghormati fakir miskin iaitu dengan cara membayar zakat fitrah dan zakat tersebut dilaksanakan sebelum tibanya hari raya untuk membolehkan fakir miskin dapat menggunakannya demi bersama merayakan hari yang dimaksudkan dan pada hakikatnya Islam adalah merupakan agama yang berunsur “ijtima-iyah” dan kerana itu makanya ia tidak membiarkan ada orang Islam yang hidupnya miskin dan tidak punya makanan dan di sinilah letaknya hikmah zakat yang sebenarnya.

Nah, sekarang ini apakah kita sudah memahami akan maksudnya hari raya aidil fitri yang bakal kita rayakan minggu depan ini? Memangnya ramai sangat yang menjawab dengan kata amat mengerti, tapi bila saja disoal tentang asal usulnya dan sebab-sebabnya diadakan, maka ternyata masih ramai yang terkial-kial dan kalau adapun yang tahu atau amat tahu, ternyata ramai yang masih berada pada sikap yang lama dengan cara terus bersikap kasar, tidak bertimbang rasa, sombong, takbur, menunjuk-nunjuk alias riak, malah selalu memaki hamun dan melakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan matlamat perayaan hari raya aidil fitri itu sendiri.

Sobat saya yang namanya Abdul Karim Gulam misalnya telah menghubungi saya dua minggu lalu melalui telefon dan saya bercakap secara panjang lebar tentang Nabi Muhammad yang disimbah dengan air kotoran kala berjalan menuju masjid dan kemudian dia mengakui tahu sedikit mengenai Nabi yang disimbah itu.

Setelah tiga hari kemudian diceritakannya kepada seorang teman yang memakai tali leher, berpakaian yang hebat, kasut yang berkilat, tiba-tiba di pertengahan jalan ada seorang bangsa asing berjalan dan terinjak lopak yang ada air, lalu air tersebut memercik ke pakaiannya yang menjadikan pakaiannya kotor yang lantas/menurut saudara Karim yang kawannya itu secara segera terus menampar orang yang menyebabkan pakaianya kotor. Kesihan, kenapa sampai sedemikian jadinya akal dan fikiran manusia seperti kita inin yang selalu berada di luar pertimbangan.. Astaga!

Dinyatakan oleh Abdul Karim sendiri bahawa ia mendengar dengan penuh teliti penerangan kawannya yang menampar itu dan setelah selesai maka barulah saudara Karim menceritakan tentang Nabi yang disimbah dan tidak pernah membenci orang yang menyimbahnya, apa lagi mahu menampar dan sebagainya seperti yang dilakukan oleh kawan yang menceritakan, malah Nabi sendiri terus membawa susu dan sup kambing kala yang menyimbahnya sedang sakit tenat dan ia kononnya segera memotong kata-kata Abdul Karim Gulam begini:

“Kamu salah Rim, jangan lupa bahawa waktu itu zaman Nabi berdakwah, tapi sekarang ini bukan zaman Nabi lagi…” katanya secara sungguh-sungguh dan kata-kata itu diucapkan secara keras yang semacam tidak ada sikap bertolak ansur langsung dan Abdul Karim terdiam ketika itu sambil tersentak dan terus tidak mahu bercakap lagi, lalu saya nyatakan kepada saudara Karim Gulam agar jangan menuang minyak pembakar di tempat yang memang ada api dan kemudian saya sarankan supaya ia dapat bercakap dengannya di lain waktu sahaja/maksudnya kala ia nantinya dalam keadaan yang tenang bukan di masa ia tengah benci dan marah sangat kepada orang yang menyebabkan bajunya kotor.

Nah, inilah sebenarnya tujuan hari raya aidil fitri diadakan supaya antara kita terus bermaaf-maafan dan selalulah dalam keadaan/bersikap sabar, tabah dan tidak panas baran, bertolak ansur, tolong menolong, berkasih sayang atau mereka yang selalu memaki hamun supaya segera menghilangkan tabiat sedemikian rupa.

Ayuh pada sobat tercinta saya, mari kita jadikan dunia ini tempat kita berkasih sayang, bertolak ansur, tolong menolong, cinta menyintai dengan penuh kasih sayang tanpa mengenal apakah ia Islam atau bukan Islam atau tanpa punya agama, sama ada ia merupakan insan atau haiwan dan ayuhlah kita jadikan dunia ini laksana di syurga loka yang penuh dengan buah-buahan, bidadari dan segala macam. Sesungguhnya itulah harapan saya dan tentunya harapan semua orang dan ternyata itulah sebenarnya mesej yang mahu disampaikan oleh hari yang namanya hari raya aidil fitri.

Nah, sebelum saya mengakhiri catatan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin, halalkan yang termakan dan terminum dan mohon dilupakan kesemua kesilapan dan maafkan saya kalau memangnya ada catatan saya sebelum ini amat menyentuh perasaan. Yakinlah bahawa apa saja yang baik tentunyanya dari Allah, sementara yang tak baik/tak betul adalah dari saya sendiri. Maafkan saya! maafkan saya? maafkan saya!

ISMAILY BUNGSU
UMS-SABAH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih.Moga ALLAH memberi anda keupayaan untuk terus menulis.ISMAIL