30 Oktober 2009

Akhirnya Adun Perlabuhan Klang dicadang letak jawatan

Harakahdaily

SHAH ALAM, 29 Okt: Akhirnya, Adun PKR Perlabuhyan Klang, Badrul Hisham Abdullah dicadangkan meletakkan jawatan oleh Menteri Besar yang juga Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tindakan ini diambil selepas hampir setahun proses membetulkan keadaan dibuat namun terbuktinya ianya gagal dan sikap Adun berkenaan tidak berubah.

Khalid mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat PKR supaya ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Menurut kenyataan pejabat MB hari ini, kerajaan Selangor prihatin terhadap aduan penduduk di Pelabuhan Klang mengenai ketidakupayaan Badrul Hisham menjalankan kewajipan beliau sebagai wakil rakyat.

"Sejak surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada beliau pada 20 Ogos 2009. Beliau tidak mengambil sebarang langkah untuk memperbaiki prestasi kerja beliau.

"Dalam surat jawapannya. Badrul Hisham telah menyatakan kesudian untuk berjumpa dengan pimpinan negeri dan parti..

"Namun demikian beliau masih enggan berjumpa dengan pimpinan kerajaan negeri ataupun parti, menjawab panggilan telefon dan SMS, serta membuka semula Pusat Khidmat beliau untuk penduduk Pelabuhan Klang," kata kenyataan tersebut.

Berikutan itu, Khalid hari ini membuat satu usul kepada MPP PKR supaya Badrul Hisham meletakkan jawatan sebagai ADUN Pelabuhan Klang.

"Menteri besar juga akan menghantar satu delegasi untuk memaklumkan pendirian tersebut kepadanya dalam masa terdekat.

"Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana mereka ini hanya akan menggagalkan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf ekonomi dan sosial rakyat," kata kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan: