24 Disember 2009

Perutusan Sambutan Hijrah 1431: Satu Iktibar

6 Muharram 1431H
Ustaz Idris Ahmad

18/12/09
Selamat menyambut tahun baru hijrah 1431. Semoga kedatangan tahun baru hijrah dapat memberikan pengertian yang bermakna kepada perjuangan agama Allah di atas muka bumi ini. Hijrah yang memerlukan pengorbanan jiwa, perasaan, tenaga dan harta benda. Baginda berhijrah kerana ia adalah arahan Allah SWT kerana bumi Makkah tidak subur untuk baginda meneruskan usaha dakwah. Maka baginda berhijrah kerana di Madinah adalah tapak yang subur untuk nabi SAW meneruskan usaha menegakkan Islam yang syumul.

Semangat hijrah yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW mesti dijadikan aspirasi kita dalam meneroka jajaran dakwah di negara ini. Hijrah dengan penuh strategik dan perancangan yang begitu rapi bukan secara membuta tuli. Nabi SAW melakukan hijrah dengan mengambil jalan yang jarang manusia lain lalu, bersembunyi di Gua Thur sebelum terus bergerak ke Madinah, semua ini menunjukkan Nabi SAW memberi tarbiah kepada kita dalam kerja dakwah dan perjuangan walaupun nabi boleh berdoa kepada Allah dan mengutuskan tentera-tentera Allah untuk membantu Nabi tanpa bersusah payah. Sebaliknya Nabi telah merancang dengan begitu teliti sekali sewaktu baginda mangatur untuk berhijrah.

Iktibarnya walaupun perjuangan kita betul, dan musuh kita salah dan batil, tetapi jika kita tidak merancang dengan betul, bererti kita merancang untuk gagal. Dalam konteks demokrasi jika kita tidak meramaikan ahli dan perbanyakkan cawangan serta menambahkan pengundi berdaftar maka kita kalah. Sunnah Allah tidak berubah. Kalau PAS tidak buat kerja kita kalah, kalau Umno buat kerja dia menang.

Semoga hijrah memberikan pengajaran yang cukup bermakna kepada perjuangan kita dan mencapai cita-cita suci kita semua. Kita mengharapkan kerja kita pada tahun 1431H lebih cemerlang daripada 1430H. Kita tinggalkan segala kerja-kerja yang melambatkan kemenangan kita seperti berbalah sesama sendiri, menyelesaikan masalah parti dengan menggunakan media musuh, mendedahkan strategi parti dan mendedahkan apa yang berlaku di dalam mesyuarat dalam blog. Azam baru kita ialah hijrahlah kepada hidup yang lebih harmoni dan membina parti kita dengan lebih cemerlang. Hijrahlah kepada akhlak berjamaah yang menguntungkan parti. Hijrahlah untuk menegur parti di majlis yang sesuai dengan akhlak orang yang mahu melihat Islam didaulatkan. Hijrahlah untuk membina parti yang lebih cemerlang dan Islam dijulang.


1 ulasan:

Senduduk Puteh berkata...

salam ma'al hijrah