27 Januari 2010

Karnival Penang Harmoni Februari ini

11 Safar 1431H

KUALA LUMPUR, 25 Jan: Lajnah Penerangan PAS Pulau Pinang akan menganjurkan Karnival Penang Harmoni selama seminggu bermula 1 hingga 7 Februari depan di Tapak Ekspo Seberang Jaya.

Selain melibatkan ketiga-tiga parti alam pakatan Rakyat, PAS, PKR dan DAP, karnival bertemakan 'Penang Harmoni Muhibbah dan Berintegriti' itu turut melibatkan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Lajnah berkenaan, Zulkifly Ishak berkata, program berkenaan diadakan bagi membuka peluang kepada rakyat mendapat penjelasan berkenaan isu-isu yang berlaku dalam negara.

Karnival berkenaan akan dirasmikan oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1 Februari.

Akan hadir bersama beliau, Ketua Penerangan, Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS Negeri, Salleh Man dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V.Sivakumar.

Pada hari kedua, karnival diisi dengan forum perdana yang akan menampilkan tiga panelis iaitu Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Zawawi Nik Saleh, Ahli Parlimen Baling Taib Azamudin dan Setiausaha Politik Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Misbahul Munir Masduki.

Pada 3 Februari pula, pentas akan dihangatkan dengan pidato yang disampaikan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dan seorang Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Speaker DUN Kelantan, Nasaruddin Daud, Setiausaha Agung Parti KeADILan Rakyat (PKR), Saifudin Nasution Ismail dan Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, P Ramasamy akan menyampaikan pidato mereka pada 4 Februari.

Seterusnya pada 5 Februari, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PKR Azmin Ali serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Boon Poh akan memberikan ceramah pada malam itu.

'Malam Kemanusiaan dan Keseniaan Islam yang akan dikendalikan oleh seorang tokoh motivasi Ustaz Abdullah Khairi mengambil tempat pada malam kemuncak karnival, 6 Februari.

Para pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan empat penyanyi Rock 90an iaitu bekas vokalis Kumpulan Wings , Mel, Radhi Abdul Hamid dari Mellisa, Mael dari XPDC dan Renggo dari kumpulan Arrow.

Manakala pada malam terakhir, tiga pimpinan Pakatan iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah akan menyampaikan ceramah.

Selain mendengar pidato dan ceramah dari pemimpin Pakatan, pengunjung juga boleh menambah pengetahuan dengan berkunjung ke gerai-gerai pameran di samping membeli-belah di gerai jualan yang akan dibuka.

Justeru, pihak penganjur amat mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat dari dalam dan luar Pulau Pinang ke karnival berkenaan.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: