27 Januari 2010

PAS Tasek Gelugor rayu bantu mangsa kebakaran

11 Safar 1431H
Mohd Sabri Said

TASEK GELUGOR, 25 Jan: PAS Kawasan Tasek Gelugor memohon simpati orang ramai membantu meringankan bebanan keluarga Mohd Radzi Ahmad kerana tinggal sehelai sepinggang ekoran kebakaran kediamannya di Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Ahad lalu.

Setiausaha PAS kawasan, Zamri Darus ketika ditemui di lokasi kejadian memberitahu, Mohd Radzi walaupun tinggal di Permatang Sungai Dua iaitu di rumah pusaka peninggalan arwah ayahnya merupakan ahli PAS Cawangan Simpang Empat Permatang Buluh.

"PAS Tasek Gelugor berharap ada yang simpati dengan memberikan sumbangan sama ada wang ringgit, keperluan dapur atau pakaian. Buat sementara ini mangsa tinggal di rumah saudaranya yang berdekatan," jelasnya.

Kepada sesiapa yang ingin menyumbangkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 019-4572116 atau terus ke akaun AmBank Mohd Radzi bernombor 079-002-001922-6.

Semalam, Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Khalid Man menyumbangkan RM2,000 manakala Timbalan Pengarah 1 Pasti negeri, Yasrizal Yaakob menyumbangkan RM500 dan berjanji akan memberikan bantuan pakaian, buku teks dan keperluan sekolah kepada anak mangsa.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara turut menghulurkan bantuan keperluan dapur dan selimut kepada mangsa.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: