19 Jun 2010

7 Julai cuti umum di Pulau Pinang

5 Rejab 1431 H
Oleh: Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 17 Jun: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengistiharkan setiap 7 Julai bermula tahun ini sebagai cuti umum sempena ulang tahun pengistiharaaan Bandar Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Zainol Rahim Seman berkata, ketetapan tersebut telah dipersetujui pada 21 Julai 2009 dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mahukan cuti umum untuk semua rakyat negeri ini pada setiap 7 Julai setiap tahun mulai tahun 2010.

Menurutnya, tindakan itu merupakan usaha proaktif Kerajaan Negeri untuk seluruh warga Pulau Pinang meraikan program yang di atur di samping memberi sokongan padu pada kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

"Saya telah diarahkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mengistiharkan 7 Julai 2010 sebagai cuti umum untuk rakyat Pulau Pinang sempena anugerah dari UNESCO.

"Mulai tahun ini 7 Julai akan dijadikan cuti umum setiap tahun, " jelasnya dalam satu kenyataan.

Penetapan itu juga telah di wartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 17Disember 2009 lalu.

Surat pekeliling telah pun dihantar kepada semua Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan dan Negeri, Persatuan Kilang-Kilang, Persatuan Bank-Bank, Persatuan Hotel-Hotel dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta Parti-Parti Politik negeri ini.

Surat yang sama juga dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia bagi memaklumkan perkara tersebut.

Hari Kelepasan Am tidak menjadi 'paid holiday' mengikut syeksyen 60D (1)(a) Akta Pekerjaaan (Akta 265) kecuali jika majikan melalui persetujuan dengan pekerja mengikut provisio kepada seksyen 60D (1A) Akta 265.

Ujarnya, akta berkenaan hanya menetapkan empat hari iaitu Hari Tuan Yang Terutama, Hari Yang Dipertuan Agung, Hari Merdeka dan Hari Buruh yang mesti diiftiraf oleh para majikan daripada 10 hari cuti awam di mana baki cuti enam hari boleh dipilih atas budi bicara mereka.

Walaupun cuti umum itu tidak mewajibkan semua majikan mematuhinya namun sepertimana peruntukan di bawah seksyen 60D (1)(a) Kerajaan Negeri berharap diberi kerjasama sewajarnya bagi membolehkan semua pekerja turut mengambil bahagian ulang tahun berkenaan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: