19 Jun 2010

Pasca Muktamar DPPP kali ke 51

5 Rejab 1431 H
Oleh: Nasrudin Hassan at-Tantawi

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan. Insyaallah ini tema Pemuda PAS bekerja sepanjang musim ini disamping menyelesaikan tunggakan tugas serta rancangan yang masih tergendala ekoran tertunda kerana menghadapi 11 pilihanraya kecil pasca pilihanraya 2008 yang lalu.

Insyaallah, seluruh jentera pemuda dipelbagai peringkat mestilah mula aktif malah proaktif untuk menggerakkan amanah dan tanggungjawab yang sedang dipikul sebagai ansoorullah yang menggalas cita-cita untuk mendaulatkan syariat Islam.

10 Kriteria Ansoorullah dan 10 Politik Rasul saw juga apa yang lebih penting dan menjadi asas bergerak sepanjang tempoh perjuangan kita ialah 10 Badihiyat [peraturan dan arahan khas yang wajib dilaksanakan oleh setiap pemuda] telah saya gariskan dalam ucaptama ketua DPPP baru-baru ini.

Jangan leka dan jangan lena. Masa kita singkat, kerja kita banyak, cabaran kian sukar dan halangan kian rencam. Atur langkah secara cermat dan berhemat dan depani cabaran dengan tenang dan tabah. Mohon pertolongan daripada Allah dengan sabar, munajat dan solat [doa].

Gandingkan tenaga. Lama, baru, ulama', profesional, aktivis, amilin, pimpinan dan seluruh anggota mestilah rapatkan saff dan eratkan ukhuwwah. Kini masa kita berjuang bukan membuang masa dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada jamaah dan ummah.

Khasnya kepada saff pimpinan yang sedang memikul beban amanah dan tanggungjawab perjuangan. Pedulikan segala fitnah dan tohmahan. Pacu perjuangan ini semampunya dan bertawakkal kepada. Cari nilai dari sisi Allah swt bukan nilai di sisi manusia.

Sabar atau segala susah sukar berjuang. Korbankan masa, tenaga, pemikiran malah jika perlu darah dan nyawa demi Islam. Samaada menang atau syahid ..... itulah slogan kita berjuang. Tiada istilah kalah dalam perjuangan.

Jadilah pejuang Ansoorullah untuk terus memimpin Jiil [ generasi ] rabbani. Inilah tugas besar kita menyambung tugasan golongan as saabiquunal awwalin [generasi terdahulu]. Jika mereka gigih dan istiqamah malah mampu tunaikan tugas mereka, kenapa kita hari ini mesti mengemukakan 1001 alasan untuk berdalih. Ayuh bangkit pemudaku.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: