03 Ogos 2010

Luruskan niatmu wahai pelajar.

21 Syaaban 1431 H
Oleh: Muhd Fadzil

Membetulkan niat atau meluruskan niat dalam mencari ilmu adalah kewajiban pertama yang harus dipenuhi oleh seorang murid dan guru.

Kerana mempelajari ilmu adalah salah satu bentuk ibadah, sedangkan asas utama dari setiap ibadat adalah niat. Sila rujuk Hadith pertama di dalam kitab 40 Nawawi.

Orang yang berperang di jalan Allah , orang alim, membaca al-Quran dan orang-orang yang melaksanakan lain-lain ibadat tidaklah ia dapatkan kecuali apa yang dia niatkan dari perbuatannya.

Jika dia berniatkan ibadat untuk mendapatkan keredhaan Allah, maka dia telah mendapatkannya dan jika dia berniat mendapatkan dunia, maka hilanglah segala pahala amalannya malah akan dihumban ke dalam api Neraka pada Akhirat kelak. Seakan dia telah mempermainkan Allah.

PERUMPAMAAN

Umpamanya seperti seorang yang datang kepada raja untuk mengabdikan diri tetapi tujuannya sebenarnya adalah untuk melihat-lihat gundik raja dan pelayan-pelayan, maka sememangnya dia patut dimurkai oleh raja.

Banyak lagi perumpaan yang boleh dikaitkan, tetapi cukup sekadar satu ini. Dan bagi yang bijak, dari sini sudah dapat difahami, bahawa siapa yang mencari ilmu dengan tujuan untuk mendapatkan kekayaan, kedudukan antara manusia, mendapat pengaruh rakan-rakan dan saudaranya, mendapatkan perlindungan atas diri dan hartanya dan semua yang bertujuan mendapatkan selain keredhaan Allah dan menjalankan perintahNYA serta mendekatkan diri kepadaNYA, menghidupkan syariat dan agamaNYA, maka dia adalah orang yang belajar untuk sengaja mendapatkan kemurkaan Allah.

AHLI HIKMAH

Diriwayatkan, dulu ada seorang ulama ahli hikmah yang telah menyusun sekitar 360 karangan tentang ilmu hikmah.

Kemudian Allah menurunkan wahyu kepada seorang Nabi pada zamannya,”katakanlah kepada orang tersebut bahawa engkau telah memenuhi ruang bumi dengan kemunafikan dan Aku sungguh tidak akan menerima kemunafikanmu sama sekali.

Orang tersebut dengan karangannya telah bertujuan untuk menampakkan suaranya dan memperluas kedudukannya di segala penjuru bumi’

Adalah jelas, orang yang mempelajari ilmu tanpa disertai tujuan kerana Allah, dia adalah orang yang berbuat maksiat kepada Allah.

HARI INI
Terdapat ramai golongan sedemikian rupa atau lebih teruk yang lahir di tengah-tengah masyarakat , mereka bukan sahaja sombong dengan ilmu mereka malah mereka kadangkala berlaku khianat terhadap ilmu. sedangkan mereka mengetahui akibatnya.

Contohnya seorang ulama yang menasihati kerajaan dengan cara bathil, memejamkan mata apabila berlaku kerosakan atau maksiat di tengah-tengah masyarakat, Membuat fatwa yang melihat kepada kepentingan diri dan orang tertentu.

Membuat fitnah dan berbagai macam lagi, ini semua berlaku apabila ilmu yang di pelajari sudah hilang keberkatan akibat tujuan asal menuntut ilmu sudah condong untuk mendapatkan kemewahan dan nama. Sebenarnya dunia tidaklah indah seperti yang disangkakan oleh mereka.

MAHASISWA ISLAM

Kita amat mengetahui bahawa mahasiswa/siswi Islam berada di segenak pelusuk alam, samada di Malaysia itu sendiri, Indonesia, Mesir, Jordan, Syria, Morocco, Yaman, Eropah, Amerika.

Masing-masing mempunyai niat untuk mempelajari agama tetapi adakah benar-benar bersandar kepada tujuan untuk mencari keredhaan Allah?

Sepengetahuan saya dan mungkin juga rakan-rakan ramai mahasiswa/siswi yang terlalu obses untuk mendapatkan pangkat dan nama apabila sudah pulang tamat belajar nanti.

Inilah antara niat yang akan banyak menimbulkan masalah pada suatu hari nanti.
Terdapat juga yang terlalu kagum dalam pembawaan diri masing-masing.

Takjub dengan pandangan sendiri, takjub dengan manhaj yang dipegang sampai memperlecehkan orang lain. Ini semua akibat hilang keberkatan ilmu.

Ini semua berlaku bukan pada mereka-mereka yang mempelari bidang-bidang professional atau lain-lain tetapi berlaku kepada mereka-mereka yang mempelajari Islam, dan yang pasti belajar dengan NIAT YANG SALAH.

LURUSKAN KEMBALI NIAT

Sabda Rasul,“janganlah kamu mencari ilmu untuk membanggakan diri kepada para ulama dan untuk mempertontonkannya di hadapan orang-orang awam, agar orang lain menaruh perhatian kepada dirinya.

Barangsiapa melakukannya maka nerakalah sebagai tempatnya”
Hadith ini nyata sudah cukup untuk kita memahami persoalan menuntut ilmu dengan niat yang ikhlas dan mencari keredhaan Allah sebenarnya.

Luruskan dan bersihkanlah kembali niat supaya ilmu yang didapati itu di’pakej’kan sekali dengan keberkatan.

Islam memerlukan mereka yang berjuang semata-mata kerana Allah, jika anda rasa anda berjuang dan belajar dengan niat begitu, tahniah tetapi jika pada niat itu ada terselit mencari kemewahan dan nama, maka segera bakul sampah kan niat tersebut sedalam-dalamnya supaya ia tidak keluar kembali menguasai diri.

Semoga Allah permudahkan urusan kita dan sentiasa menaungi dengan limpahan rahmatNYA.

Tiada ulasan: