03 Ogos 2010

PAS Wilayah lebar sokongan bukan Islam

21 Syaaban 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) merupakan satu peluang yang harus digunakan sebaik mungkin oleh PAS Wilayah Persekutuan untuk melebarkan sokongan kepada orang bukan Islam, kata Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.

Hatta juga yakin kerterbukaan yang ditunjukkan PAS ketika ini akan turut mendapat sokongan daripada orang Islam terutamanya ahli PAS sendiri.

"Kita menerima bahawa penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai satu peluang yang baik kepada pada PAS Wilayah Persekutuan untuk melebarkan tapak sokongan kepada masyarakat bukan Islam dan saya yakin keterbukaan ini pula akan mengundang sokongan daripada umat Islam sendiri, terutamanya ahli," katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja ‘Islam Adil Untuk Semua’ di majlis Munaqasyah Ucapan Presiden, dekat sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Krai itu turut berkata, PAS Wilayah harus menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan suasana majmuk di kawasan ini dengan memperbanyak program bersama dua rakan dalam Pakatan Rakyat, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Pendekatan PAS Wilayah Persekutuan ini harus disesuaikan dengan kemajmukan keadaan di Kuala Lumpur dan melalui program bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat kita akan dapat menembusi halangan-halangan yang selama ini mungkin kita hadapi," katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan parti agar memperkasa pengkaderan ahli agar dapat menjadi petugas yang mahir dan berketerampilan.

"Dari segi muhasabah dalaman saya rasa cukup elok untuk memperkemaskan proses pengkaderan ahli supaya menjadi petugas yang mahir dan berketerampilan dan komited dengan kerja-kerja parti," ujarnya.

Selain itu katanya, pengurusan organisasi parti harus diperkemaskan dari semua aspek terutamanya penyampaian maklumat kepada ahli dan rakyat keseluruhannya serta mengekalkan dasar parti sebagai sebuah gerakan Islam yang mengamalkan keterbukaan dan mesra rakyat.

"Semua bersetuju bahawa parti perlu diurus dengan lebih berkesan dari segi organisasi, kesetiausahaan dan penyampaian maklumat dan penerangannya.

"Perlu menggunakan pendekatan yang lebih profesional dalam pengurusan parti dan yang saya nampak juga kita harus mengekalkan dasar parti sebagai sebuah gerakan Islam yang terbuka, lebih mesra rakyat bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada bukan Islam," katanya.

Terdahulu, munaqasyah itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad.

Sebanyak enam kawasan dan keempat-empat dewan iaitu Dewan Ulama, pemuda, muslimat dan himpunan penyokong membahaskan ucapan tersebut.

Antara topik yang mendapat perhatian peserta ialah mendepani masyarakat majmuk yang dibahaskan oleh kawasan Wangsa Maju.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Ghazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa dan Pengerusi DHPP Wilayah Persekutuan, Vincent Lee.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: