06 Ogos 2010

Umno terus salah guna masjid

24 Syaaban 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Ogos: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali (gambar) hari ini menyatakan kekesalan di atas sikap double standard Umno menyalahgunakan masjid untuk kepentingan politik murahan mereka.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) yang didakwa turut memperkuda Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menembusi masjid dan surau demi agenda politik mereka.

Beliau merujuk kepada majlis Bicara Pemimpin Besama Rakyat dan Sumbangan Kepada Masjid-masjid dan Surau-surau Zon 3, di Masjid Alam Shah, 2 Ogos lalu.

Berdasarkan kain rentang yang dipamerkan, Lo' Lo' berkata program tersebut adalah anjuran Jawi bersama Umno bahagian Cheras dan bahagian Titiwangsa.

Namun apa yang dikesalinya, program tersebut langsung dilihat bukan kendalian Jawi namun didominasi Umno dari awal hingga ke akhir.

Jelasnya, Umno mendominasi seawal tazkirah Maghrib yang diberikan oleh Ketua Biro Agama Pemuda Umno Cheras Syed Amru, kemudian solat Isyak diimamkan menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kemudian ucapan Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabsyi dan Pemangku Ketua Umno Titiwangsa, Johari Ghani.

"Majlis ini anjuran Jawi, sudah pasti guna dana Jawi, sumbangan dari peruntukan Jawi, tetapi Umno menguasai dari awal hingga akhir.

"Sebagai wakil rakyat, saya kesal dengan sikap double standard menteri yang memperalat Jawi untuk meluaskan pengaruh politik Umno BN yang telah ditolak rakyat khususnya di Kuala Lumpur," katanya kecewa.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Turut serta pada sidang media tersebut, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohamad Nor Mohamad.

Selain itu, beliau selaku Ahli Parlimen kawasan tersebut juga kecewa apabila kehadirannya langsung tidak dipeduli biarpun Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali telah dimaklumkan.

"Saya dimaklumkan oleh ahli kariah, dan terus ke sana. Saya bertanya secara baik kepada Pengarah Jawi, kenapa Umno dilibatkan secara langsung.

"Beliau berkata, tidak mengapa, saya ada bersama... jadi saya kata kalau macam tu, PAS pun nak buat program bersama dengan masjid-masjid...dia kata boleh, buatlah permohonan.

"Mungkin selepas fikir implikasi dari jawapannya dia kata, saya kena fikir dua, tiga kali sebab PAS ni bukan kerajaan," jelasnya menceritakan dialog yang berlaku.

Menurut Lo' Lo', Che Mat sepatutnya sedar bahawa program tersebut diadakan di Titiwangsa yang dimenangi PAS dan juga selaku kerajaan di parlimen itu.

Beliau juga hairan dengan sikap Jawi yang sebelum ini melarang sebarang aktiviti politik dalam masjid, namun kali ini menjemput Umno untuk sama-sama terlibat.

Selain itu, Lo' Lo' menyifatkan Umno Cheras dan Titiwangsa hilang keupayaan dan wajar digelar orang kurang upaya (OKU) kerana terpaksa menempel kepada Jawi dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membuat sebarang program.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau nak kira dengan UMNO..masjid pun depa nak buat karaoke..