25 September 2010

Hentikan kritikan terhadap individu bertanding

15 Syawal 1431 H
Oleh: Yahya Sahri

Presiden parti KEADILAN di gesa supaya segera mengeluarkan arahan agar jangan ada sesiapa dari kalangan ahli parti baik yang bertanding ataupun tidak; baik yang berjawatan atau tidak ; mengeluarkan kenyataan dalam apa jua media khususnya menyentuh personaliti calon-calon yang bertanding merebut jawatan dalam parti bulan November akan datang.

Hal ini amat penting bagi menjaga keharmonian kempen masing-masing. Jika pun mereka mahu memberikan komen, maka ia harus dilakukan dalam kerangka atau platfom parti.

Jangan gunakan media atau jangan respon terhadap media jika ada isu yang berkaitan dengan personaliti seseorang. Tidak wajar seseorang memberi komentar terhadap prestasi seseorang yang lain dalam media yang boleh memberikan pelbagai tafsiran kepada umum.

Tindakan sedemian serupa dengan membuka pekung di dada. Ia tidak ubah seperti membuka pintu rumah seluas-luasnya untuk pencuri masuk.

Semua ahli termasuk pimpinan tertinggi parti harus sedar bahawa yang bertanding dalam pemilihan adalah ahli parti yang sering berikrar untuk memperjuangkan parti. Sebelum ini semua orang-orang ini telah bersama-sama berkerja dalam satu pasukan untuk memenangkan parti.

Sebelum ini kita sering mendakwa pemimpin KEADILAN semuanya satu hati satu jiwa; semuanya ikhlas mahu berjuang.

Sebelum ini kita kata semua ahli parti kita komited dengan perjuangan. Sebab itu kebanyakan dari mereka di beri tugas dan jawatan dalam parti.

Sebaliknya bila tiba musim pemilihan lain pula komentar kita terhadap ahli yang bertanding tersebut. Hal seperti ini tidak baik dan tidak wajar berlaku malahan tidak boleh dibenarkan berlaku dalam parti.

Malah organ parti juga tidak harus digunakan untuk mengherdik, mencela atau mengkritik mana-mana ahli yang bertanding. Yang bertanding adalah ahli yang telah membuktikan kesetiaan mereka bersama parti ini, paling tidak buat masa ini. Di masa hadapan kita tidak tahu.

Setakat yang dia menunjukkan kesetiaan kepada parti maka kita tidak harus melayani mereka seperti pengkhianat ataupun musuh.

Paling tidak mereka ini tampak setia bekerja atau berkhidmat dalam parti. Semua yang menawarkan diri untuk bertanding memegang jawatan penting dalam parti mempunyai rekod khidmat dan sumbangan terhadap parti, baik dari segi masa, tenaga atau wang ringgit,

yang beza hanyalah “tahap” atau “degree” sumbangan itu sahaja dan tidak mungkin semua orang mempunyai “degree sumbangan” yang sama. Jadi biarlah ahli yang menilainya.

Ada yang baru masuk dan mereka tentunya belum boleh berbuat banyak untuk parti kerana belum diberi tanggungjawab yang besar dalam parti. Ada yang sudah lama dalam parti dan memegang jawatan besar dalam parti.

Jadi tentu mereka ini lebih banyak dilihat berjasa dalam parti. Jadi tidak adil untuk kita mengukur sumbangan seperti itu dalam menilai ketokohan seseorang.

Jangan juga kita ingat semua yang lama dalam parti itu semestinya banyak sumbangan. Tidak sedikit di antara pemimpin lama yang dilantik sebelum ini pun hanya duduk dalam mesyuarat barisan kepemimpinan sahaja.

Datang mesyuarat, bercakap sepatah dua dan angguk-angguk. Yang mampu setakat itu sahaja pun ada. Kalau setakat itu sahaja dia mampu buat maka kita raikanlah sahaja kemampuannya itu.

Kalau kita dapat yang lebih baik kita berilah tempat padanya. Jangan pula kita memperlekeh yang tidak mampu menyumbang seperti yang lain.

Yang kurang menyumbang dalam parti sebenarnya kita semua bukan satu dua orang. Ini kerana parti ini milik semua dan semua orang sebenarnya boleh memberikan sumbangan kepada parti meskipun tanpa jawatan.

Apatah lagi yang berjawatan. Jadi jangan kita saling menuduh dan menunjuk antara satu dengan lain. Tunjuki diri sendiri kerana kita sebenarnya gagal bekerja lebih kuat memperkasa parti.

Banyak perkara yang belum kita buat dalam parti jadi pemimpin yang telah lama jangan mendabik dada telah melakukan banyak kerja dalam parti..

Dan kalau pun sudah banyak berjasa dalam parti tak perlulah nak heboh-heboh kerana jika buat kerja kerana nakkan pujian, maka sumbangan seperti itu pun tak ada makna yang besar kepada parti.

Kita juga jangan lupa kepada orang lain yang juga turut menyumbang kepda parti tetapi tak mahu di kenang atau di sebat-sebut. Tidak sedikit yang tak mahu memegang apa-apa jawatan dalam parti tetapi tetap bekerja siang malam dalam parti.

Semua mereka juga ada berjasa dan barangkali mereka lebih banyak berjasa dari mereka yang berada lama barisan kepemimpinan parti.

Oleh itu jangan kita menjadi terlalu pandai nak ukur sumbangan seseorang berdasarkan pemerhatian luaran sahaja. Ada sumbangan yang dibuat secara peribadi tetapi banyak membantu parti dan itu mungkin kita tidak tahu.

Jadi bagaimana kita boleh secara rambang membuat penilaian tertentu terhadap seseorang.

Oleh yang demikian semua pihak harus kembali berpegang kepada prinsip beramal dalam pasukan atau prinsip berjamaah. Dalam semua agama kita di ajar supaya berpegang kuat dengan semangat berjamaah dan jangan melakukan sesuatu yang boleh merosakkan jamaah.

Dalam Islam umatnya di ajarkan supaya menghayati perumpamaan kekuatan sesebuah jamaah yang diumpamakan sebagai sebuah binaan atau bangunan.

Kita semua harus sedar bahawa kita hanya dapat membangunkan bangunan dari himpunan dan ikatan batu yang kasar, kerikil yang kecil dan juga pepasir yang halus.

Jika batu besar mengatakan kerikil dan pasir tidak penting dan tidak berguna, tentunya sesebuah bangunan yang teguh tidak dapat dibangun dan ditegakkan.

Kita juga di ajarkan supaya menghayati semangat jamaah yang diibaratkan sebagai sebatang tubuh, yang mana jika ada salah satu anggota yang sakit, maka seluruh tubuh akan turut merana kesakitan.

Bila kita memberikan komentar negatif terhadap sesama kita , kita harus ingat bahawa ada sesorang di kalangan kita yang tentunya sakit dan jika kita tidak dapat merasai kesakitan tersebut maka sesungguhnya semangat sebenar jamaah itu tidak ada dalam diri kita.

Bagaiman kemenangan akan menyebelahi kita jika semangat seperti itu tidak tertancap di dalam jiwa kita semua.

Oleh itu Presiden dan pimpinan tertingggi harus segera berusaha mencari jalan mengelakkan fenomena yang tidak sihat ini berkembang dalam parti.

Lembaga Disiplin parti atau Jawatankuasa Pemilihan Parti harus segera mengeluarkan arahan yang jelas dan tindakan harus di ambil terhadap mana-mana pihak yang menggunakan media untuk mencela dan memberikan komentar negatif terhadap calon yang lain.

Lagi pun parti KEADILAN ini masih muda umurnya dan tentunya banyak kelemahan yang akan timbul di kalangan ahli dan juga dalam parti.

Jadi janganlah sampai semua pihak membuka pintu seluasnya kepada musuh untuk masuk melihat kelemahan kita semua. Jika seorang membuka satu pintu dan pihak yang lain membuka satu pintu lagi,

maka habislah rahsia rumah tangga kita diketahui orang dan mudahlah musuh mengalahkan kita kerana kelemahan kita sudah ditangan mereka. Dan yang lebih bahaya dari itu adalah “Jangan sampai rakyat bosan dengan kebobrokan politicking pemimpin parti KEADILAN”

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: