25 September 2010

Gereja Orang Asli: Bina dulu baru minta kebenaran

15 Syawal 1431 H

KOTA BHARU, 23 Sept: Pembinaan gereja untuk orang Asli di Pos Pasik, 70 km dari Gua Musang sepatutnya tidak menjadi masalah jika ia dibuat melalui saluran yang betul dan bukannya secara 'bina dulu dan memohon kebenaran kemudian'.

Demikian kata Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Yusof Wan Ngah kepada Harakahdaily hari ini.

"Isu utama saya nampak ialah pembinaan tanpa izin pihak berkuasa JHEOA (Jabatan Hal Ehwal Orang Asli) dan pejabat tanah Gua Musang.

"Pihak orang Asli di Pos Pasik atau pihak gereja kena minta kebenaran membina dulu. Masalahnya buat dulu minta kemudian. Kenapa tak bincang atau mohon lebih awal dan minta pandangan pihak berkuasa terlebih dulu. Di sini timbul soalan, gereja itu dibina atas kehendak siapa?" soal beliau.

Wan Nik mengulas laporan sebuah laman web yang menyiarkan masalah yang dihadapi oleh sebuah gereja yang dibina di Pos Pasik yang didiami oleh kira-kira 600 penduduk orang Asli suku Temiar.

Menurut laman web itu, mereka memeluk Kristian pada tahun 2001 dahulu. Laman itu melaporkan, sebelum ini, mereka membina gereja menggunakan buluh yang akan diperbaharui setiap dua tahun.

Namun, apabila kerajaan mula membina rumah orang Asli ini dengan batu, mereka mahu membina gereja dengan batu juga.

Menurut Moses Soo, Pastor yang menyeliakan gereja orang Asli di Kelantan, mulai bulan Mei lalu, mereka mula membina gereja itu dengan batu dan memaklumkan perkara ini kepada JHEOA, namun jabatan di bawah kerajaan persekutuan itu kemudiannya menolak cadangan itu.

"Sebenarnya semua urusan tanah di bawah tanggungjawab Ketua Jajahan, maka tidak benar Pos Pasik itu di luar kuasa pejabat jajahan. Cuma ia di luar bidang kuasa majlis daerah memang benar," kata Wan Nik.

Menurut beliau, hak eksklusif orang Asli dalam kawasan penempatannya hanya untuk bercucuk tanam dan tempat tinggal bukan untuk membina apa-apa bangunan termasuk rumah ibadat.

"Sebab kehidupan nature orang Asli memang tiada rumah ibadat! Keperluan rumah ibadat adalah tertakluk kepada permohonan pihak agama itu sendiri atau kerajaan," katanya.

Apapun, katanya, prinsip dan dasar kerajaan negeri adalah selaras dengan perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 3(1) yang memberi hak dan kebebasan semua kaum dan agama mengamalkan cara hidup masing-masing.

"Tetapi di sana ada peraturan lain yang perlu dipatuhi bagi mengamalkan kebebasan itu. Maksudnya kebebasan berasaskan rule of law. Pihak pastor Moses Soo tu kena bertimbang rasional, tak boleh nak force tak tentu kalu," kata beliau kepada Harakahdaily.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: