07 September 2010

Lagi laporan polis terhadap Zainuddin

27 Ramadhan 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

BATU PAHAT, 5 Sept: Pemuda PAS Johor semalam turut membuat laporan polis terhadap bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin ekoran kenyataan memfitnah PAS.

Zainuddin sebelum ini mendakwa kononya PAS meminta Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj merampas harta orang cina ketika tragedi 13 Mei 1969 serta dakwaan kononya PAS menyebelahi Indonesia ketika konfrontasi antara Malaysia dengan negara tersebut.

Laporan polis tersebut diketuai Naib Ketua Pemuda PAS negeri, Hamid Jamah dibuat di Balai Polis Batu Pahat.

Hadir sama, setiausaha pemuda PAS negeri, Faizol Mohd Saleh serta beberapa exco pemuda negeri.

Laporan polis ini dibuat berikutan kenyataan Zainuddin yang disifatkan sebagai fitnah yang sangat jahat yang bertujuan menjatuhkan imej PAS.

"Mereka terpaksa terus menerus menimbulkan isu-isu biar pun berbaur fitnah yang bertujuan meniupkan api perkauman kerana mereka melihat hanya ini satu-satunya talian hayat yang masih ada untuk menyelamatkan politik mereka sebab itu hari ini pemimpin-pemimpin Umno akan bercakap isu-isu yang menyentuh perkauman.

"Kenyataan beliau yang tidak dibuktikan dengan fakta yang tepat ini dibimbangi boleh menimbulkan suasana yang tidak baik di negara ini," kata Hamid.

Justeru menurut Hamid, Pemuda PAS negeri ini mendesak polis menyiasat dakwaan yang dilemparkan Zainuddin terhadap PAS kerana tuduhan ini sangat berat selain menimbulkan persepsi yang tidak baik bagi PAS di mata umum..

Sementara itu, di Sri Iskandar, Perak, Dewan Pemuda Pas Kawasan Parit juga telah membuat laporan polis berhubung isu yang sama.

Laporan diketuai Ketua Pemuda PAS kawasan itu, Ustaz Zaid serta Ustaz Hakimi selaku Penolong Setiausaha kira-kira jam 3.00 petang semalam di Balai Polis Sri Iskandar.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: