16 Oktober 2010

BEBERAPA HUKUM BERKAITAN KEMATIAN MENURUT SUNNAH - Siri 2

07 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja Al-Maniri

إِذَا حَضَرْتُمُ الْمَرِيْضَ أَوِ الْمَيِّتَ فَقُوْلُوْا خَيْرًا فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ يُؤَمِّنُوْنَ عَلَى مَا تَقُوْلُوْنَ

Maksudnya: Apabila kamu menghadiri (ziarah) orang sakit atau orang mati maka ucapkan ucapan yang baik kerana para malaikat mengaminkan atas apa yang kamu ucapkan.

Peluang berdoa memohon rahmat serta keampunan untuk si mati ini banyak disia-siakan oleh penziarah dan bahkan oleh keluarga si mati sendiri. Sedangkan Allah memerintahkan kita supaya berbuat demikian sepanjang masa lebih-lebih lagi dalam keadaan menghadapi kematian. Firman Allah SWT di dalam Surah Muhammad ayat 19:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ

Maksudnya: Dan mohonlah keampunan bagi dosa kamu dan dosa orang-orang beriman lelaki dan perempuan.

Malangnya mereka begitu sibuk dengan “acara-acara” yang telah di susun dan diaturacarakan oleh adat dan amalan yang tidak thabit dari sunnah Nabi Muhammad SAW. Sedangkan kalau di lihat dari keterangan-keterangan yang bersumber dari sunnah Nabi Muhammad SAW apabila terjadi kematian maka doa dari orang yang hidup amat ditekankan. Kita dapat lihat secara jelas perkara ini bermula dari:

Selepas mati (seperti hadith di atas)
Dalam solat jenazah
Di kubur selepas dikebumikan
Oleh itu setiap penziarah dan juga keluarga si mati hendaklah memberi perhatian yang besar tentang perkara ini.

Janganlah disia-siakan peluang berdoa dalam keadaan yang begitu penting ini, lebih-lebih lagi doa tersebut diaminkan oleh para malaikat. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW semasa menziarahi jenazah Abu Salamah RA melalui doa yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ ِلأَبِيْ سَلَمَةَ وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّيْنَ وَاخْلُفْهُ فِي عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِيْنَ وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ وَافْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ وَنَوِّرْ لَهُ فِيْهِ

Maksudnya: Ya Allah berilah keampunan untuk Abu Salamah, angkatlah darjatnya di dalam golongan orang-orang yang mendapat petunjuk, kurniakanlah gantinya untuk orang yang ditinggalkannya, berilah keampunan untuk kami dan untuknya wahai Tuhan semesta alam dan lapangkanlah kubur untuknya serta penuhilah cahaya didalamnya.

Keterangan: Bagi sesiapa yang ingin berdoa dengan doa ini ketika menziarahi si mati, maka tukarkan tempat nama Abu Salamah itu dengan nama si mati. Sebagai contoh si mati bernama Muhammad:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِمُحَمَّد وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ……………….

Sekiranya penziarah atau keluarga si mati ingin menambah dengan doa yang lain maka boleh di pilih doa-doa yang berkisar kepada pengampunan dosa, memohon rahmat, dijauhkan azab kubur dan neraka, masuk syurga dan lain-lain.

Kemudian kita juga dapat melihat dalam suasana kematian ini ramai yang duduk di sekeliling jenazah sambil membaca Al-Quran atau surah-surah tertentu yang ditujukan bacaan tersebut untuk simati.

Persoalannya adakah bacaan tersebut sampai kepada si mati? Di sisi Imam As-Syafie tidak sampai pahala bacaan Al-Quran dari orang hidup untuk orang yang telah mati. Berkata Imam An-Nawawi di dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim (Jilid 4 mukasurat 98 cetakan Darul Hadith, Al-Qaherah-cetakan pertama 1994):

“Dan yang masyhur di dalam mazhab kami (As-Syafie) bahawa membaca Al-Quran (untuk simati) tidak sampai pahalanya”.

Ini berbeza sekiranya Al-Quran itu di baca oleh anak si mati kerana setiap amalan kebajikan yang dikerjakan oleh anak pasti diperolehi pahalanya oleh ibu dan bapa walaupun tidak diniatkan untuk kedua-duanya.

Sampaiya pahala setiap amalan kebajikan anak kepada kepada kedua-dua ibubapanya berdasarkan kepada “anak merupakan hasil dari usaha ibubapa”. Sabda Nabi SAW tentang perkara ini di dalam hadith riwayat Ahmad, Al-Bukhari (di dalam kitabnya At-Tarikh Al-Kabir), Abu Daud, An-Nasai, Ibnu Majah:

إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَإِنَّ وَلَدَهُ مِنْ كَسْبِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya apa yang paling baik dimakan oleh seseorang ialah dari hasil usahanya dan sesungguhnya anak adalah dari hasil usahanya.

Tapi yang malangnya dalam masyarakat kita ialah anak tidak berperanan ketika dalam keadaan ini. Urusan yang penting ini di serah dan diharapkan bulat-bulat kepada orang lain.

Dimanakah silapnya. Adakah si anak malu atau tergagap-gagap atau lebih buruk lagi tidak pandai membaca Al-Quran? Oleh itu kepada sesiapa yang bergelar ibubapa janganlah di beri dunia semata-mata kepada anak-anak, berikan sama (atau lebih) agama kepada mereka kerana faedahnya adalah untuk ibubapa juga, bukan untuk orang lain.

Kesembilan: Menyediakan makanan untuk keluarga si mati oleh jiran-jiran. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat As-Syafie, Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim, Ad-Daruquthni, Al-Baihaqi ketika datang perkhabaran kematian Ja’far bin Abi Thalib yang syahid pada Peperangan Mu’tah:

اصْنَعُوْا ِلآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَقَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ يَشْغَلُهُمْ

Maksudnya: Buatlah makanan untuk keluarga Ja’far kerana sesungguhnya telah menimpa mereka suatu perkara yang menyusahkan mereka.

Berkata Imam As-Syafie di dalam kitabnya Al-Umm (Jilid 2 mukasurat 635 cetakan Darul Wafa’, cetakan pertama 2001) mengenai perkara ini:

“Aku menyukai bagi jiran si mati atau kerabatnya membuat untuk keluarga si mati pada hari kematiannya dan sebelah malamnya makanan yang mengeyangkan mereka kerana sesungguhnya yang demikian itu adalah sunnah. Dan ia adalah satu tanda ingatan yang mulia di mana ia merupakan sebahagian dari perbuatan ahli kebaikan sebelum dan selepas kita”.

Inilah sunnah yang di ajar oleh Nabi Muhammad SAW dan juga sebagaimana yang di sebut oleh Imam As-Syafie di atas. Semestinya bagi keluarga si mati tidak menyibuk dan menyusahkan diri mereka menyediakan makan

apa lagi menjemput orang ramai ke rumah pada malam-malam tertentu kemudian menyediakan makanan untuk jemputan yang hadir. Berkata Dr. Wahbah Az-Zuhaily di dalam kitabnya Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh (Jilid 2 mukasurat 549-550 cetakan Dar Al-Fikr, cetakan kedua 1989):

“Adapun ahli keluarga si mati membuat makanan kepada orang ramai maka ia adalah makruh dan bid’ah yang tiada asal baginya (dari Nabi SAW).

Perbuatan sedemikian menambahkan lagi atas musibah mereka serta menyusahkan mereka atas kesusahan yang telah menimpa mereka dan menyerupai perbuatan ahli jahiliyyah. Sekiranya ia melibatkan harta waris yang belum baligh maka haram disediakan makanan (tersebut)”.

Kemudian Dr. Wahbah Az-Zuhaily membawa satu riwayat daripada seorang sahabat Nabi Muhammad SAW bernama Jarir bin Abdullah Al-Bajali RA dengan katanya:

كُنَّا نَرَى اْلإِجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنْعَةَ الطَّعَامِ مِنَ النِّيَاحَةِ

Maksudnya: Kami (sababat-sahabat Nabi Muhammad SAW) mengira bahawa berkumpul bersama keluarga si mati dan menyediakan makanan adalah termasuk dalam meratap.

Demikian juga di sebut di dalam Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam As-Syafie karangan Dr. Musthofa Al-Khin, Dr. Musthofa Al-Bugho dan Ali Al-Syarbaji (Juzuk 1 mukasurat 263 cetakan Darul Ulum Al-Insaniyyah, cetakan pertama 1989) dalam perkara ke 7 bid’ah jenazah:

“Keluarga si mati membuat makanan dan menghimpun orang ramai atasnya sebagaimana yang biasa dilakukan di zaman ini. Perbuatan ini adalah bid’ah yang bertentangan dan sangat menyalahi Sunnah”.

Sayugianya setiap orang yang cintakan Agama dan Sunnah Nabi Muhammad SAW menghindarkan diri dari melakukan perkara-perkara baru yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW atau sekurang-kurangnya oleh sahabat-sahabat Baginda SAW. Ini penting untuk memastikan supaya ketulenan Islam itu tetap terpelihara dan terhindar dari tokok tambah.

Kesepuluh: Ta’ziah (menyabar dan memberi kegembiraan kepada kaum kerabat si mati). Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi:

مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يُعَزِّي أَخَاهُ بِمُصِيْبَةٍ إِلاَّ كَسَاهُ الله ُسُبْحَانَهُ مِنْ حُلَلِ اْلكَرَامَةِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ

Maksudnya: Mana-mana dari kalangan orang beriman yang memberi ta’ziah kepada saudaranya yang di timpa musibah nescaya Allah akan memakainya dengan pakaian kemuliaan pada Hari Qiamat.

Kemudian urusan jenazah seterusnya: di mandi, di kafan, di solat, dikebumikan.

1 ulasan:

Azhan Hasbullah berkata...

Terima kasih atas keterangan beserta nas-nas.