14 Oktober 2010

Exco K'tan: PAS tak bawa isu royalti di Galas

05 Zulkaedah 1431 H

PAS tidak akan membawa isu tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan terhadap Petronas dalam kempen pilihan raya kecil DUN Galas, kata Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, lapor Bernama.

"Kita akan menggunakan isu bagaimana parti ini dapat meneruskan dasar perjuangannya berteruskan prinsip Islam selain mengekalkan rekod perkhidmatan Chek Hashim Che Sulaima, sepanjang perrkhidmatan sebagai wakil rakyat kawasan itu," lapor Bernama yang memetik Mohd Amar memberitahu pemberita demikian di Kota Bharu hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan ekoran kematian ADUN dari PAS, Chek Hashim, 46, pada 27 September lepas akibat kanser.

Mohd Amar yang juga exco kerajaan negeri dilaporkan berkata, walaupun mengikut peguam, isu royalti itu boleh dibangkitkan dalam kempen dan ianya tidak subjudis walaupun perkara itu telah dibawa ke mahkamah, PAS tidak akan membawa isu berkenaan.

ADUN Panchor itu juga menolak dakwaan yang PAS menurunkan kain pemidang yang menggesa rakyat menyokong tuntutan royalti itu kerana kononnya ia tidak menguntungkan PAS dalam pilihan raya kecil itu.

Mohd Amar berkata beliau yakin PAS akan menang dengan majoriti lebih baik dalam pilihan raya kali ini berdasarkan penerimaan rakyat terhadap parti itu di kawasan berkenaan.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: