14 Oktober 2010

Konsert Lambert: Haram yang dihalalkan

05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Edwin Michael

Tertarik sungguh otak pemikiran saya dengan kenyataan Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang meminta kerajaan mengharamkan konsert Adam Lambert yang dijadualkan pada 14 Oktober ini dan sekaligus meminta rakyat Malaysia menolak budaya ‘gay’.

Persoalannya, bagaimana hendak kita menolak budaya ‘gay’ sedangkan sistem sosial kita kini adalah sebahagian daripada budaya tersebut?

Kita sedang berdepan dengan krisis identiti yang melibatkan golongan yang memiliki perlakuan tidak normal, diluar tabii dan dari konteks agama nyata haram!

Namun, mengapa apabila si Lambert hendak ke sini baru kita mula ‘terhegeh-hegeh’ memekik menjerit meminta masyarakat kita menolak budaya songsang ini sedangkan percambahan benih budaya ini di kalangan anak-anak kita sendiri semakin parah dan menakutkan.

Bohonglah jika ahli-ahli politik yang amat dihormati ini mengatakan bahawa isu homoseksual, lesbian, transgender di Malaysia adalah isu terpencil sedangkan hakikatnya bilangan golongan ini bukan lagi sedikit sebaliknya mempunyai kemampuan untuk membentuk undi majoriti dalam pilihan raya.

Masalah kita ialah, apabila para ahli akademik tampil dengan cadangan serta langkah berpaksikan hak asasi manusia untuk membantu golongan-golongan songsang yang terdiri daripada anak-anak belasan umur ini, ahli akademik itu pula akan dipandang sebagai anasir yang menyokong budaya songsang ini sekaligus dihentam kromo tanpa mengambil peduli pendekatan ilmiah yang digunapakai dalam menangani krisis identiti ini.

Jadi, membatalkan konsert Lambert dan menolak budaya ‘gay’ maka apakah itu bermakna negara islam ini benar-benar bebas daripada tempias budaya tersebut?

Otak pemikiran kita yang waras bertambah keliru apabila Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Artis Luar Negara (Puspal) membenarkan konsert artis songsang ini dan juga sebelum ini turut membenarkan penyanyi lucah Pitbull mengadakan persembahan di negara ini. Apakah justifikasi kepada semua ini?

Dalam kekeliruan ini, otak waras terus bertambah sakit apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil menyatakan bahawa Dasar Sosial Negara sudah mula di gubal dan kini kementerian sedang dalam proses untuk merangka Model Baru Sosial seperti yang disyorkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Di satu pihak kita perlu menolak budaya ‘gay’ tanpa sebarang pendekatan alternatif yang pragmatik dalam menanganinya. Di satu pihak lain pula, kerajaan membenarkan artis-artis barat yang rendah moralnya untuk mengadakan konsert dan pada masa yang sama menggubal Dasar Sosial Negara dalam usaha menyelamatkan anak-anak kita daripada terjebak dalam kancah sosial yang pengaruhnya datang daripada individu-individu seperti Adam Lambert dan Pitbull. Pening!

Dan lebih daripada semua ini, apakah ini petanda bahawa tidak lama lagi rakyat Malaysia akan dihiburkan dengan konsert Lady Gaga?

Malaysiakini/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

"hakikatnya bilangan golongan ini bukan lagi sedikit sebaliknya mempunyai kemampuan untuk membentuk undi majoriti dalam pilihan raya"...kenyataan ini ada benarnya jika gejala ini tidak dibendung...di kampus2 IPT sendiri budaya jijik ini semakin tumbuh mekar tnpa sesiapa pun sedar..

PELAJAR SEBUAH IPTA

Tanpa Nama berkata...

macamana nak bendung kegiatan Gay ni...kalau penasihat parti pun gay jugak...