25 November 2010

'Umno Apco' - J/kuasa hak parlimen belum bersidang

18 Zulhijjah 1431H
Oleh : Regina Lee

Jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen dilaporkan akan menggantung ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun jawatankuasa itu setakat ini masih belum bermesyuarat, kata ahli parlimen Subang R Sivarasa.

Sivarasa (kiri) yang menganggotai jawatankuasa itu berkata, beliau masih belum menerima apa-apa notis mesyuarat bagi tujuan itu.

PKR bagaimanapun bersedia untuk untuk menghadapai semua keadaan, termasuk penggantungan Anwar daripada parlimen, katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan portal berita The Malaysian Insider berhubung hukuman yang bakal dihadapi ahli parlimen

Permatang Pauh itu atas tindakan mengaitkan kerajaan dan slogan '1Malaysia' dengan sebuah firma penasihat Israel Apco Worldwide.

Bagaimanapun, Sivarasa berpendapat sekiranya Anwar dihukum, tindakan itu tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat.

Katanya, pendengaran dalam jawatankuasa itu tidak akan berakhir dengan begitu cepat memandangkan mereka masih perlu mendengar keterangan daripada saksi, termasuk daripada firma penasihat Israel tersebut.

"Setakat yang saya tahu, ini hanya satu spekulasi," katanya lagi.

Beliau juga menolak pandangan bahawa hukuman ke atas Anwar itu merupakan salah satu 'plan strategik' BN sebelum mengadakan pilihan raya mengejut tahun depan.

Walaupun Anwar digantung, keadaan itu tidak akan memberi kesan kepada pencalonannya, mahupun ke atas kempen dalam pilihan raya umum, kata Sivarasa lagi.

Malah, keadaan itu juga akan membantu memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana hukuman itu dilihat sebagai "tidak adil", katanya lagi.

Tambahnya, penggantungan Anwar ekoran daripada isu berkenaan akan memberi kesan terhadap imej Malaysia di mata dunia dari segi kebebasan bersuara bagi ahli-ahli parlimennya.

Anwar pula ketika diminta mengulas kemungkinan beliau akan digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan mulai bulan depan berikutan kenyataannya mengaitkan konsep 1Malaysia dan Apco Worldwide, berkata beliau tidak dimaklumkan atau menerima sebarang notis mengenainya.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

BN guna penasihat yahudi? kalau guna bermakna matlamat yang ingin dicapai menghalalkan semua cara tak kira halal haram, zalim atau tidak, macam orang palestin dianiayai