11 Januari 2011

Islam Agama Negara, Abd Hadi Jelaskan Kekeliruan


6 Safar 1432H MOD

KL 11 Jan 11: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar, tanpa menjejaskan amalan penganut agama lain di negara kita ini.

"Inilah yang ingin ditonjolkan oleh PAS, bahawa Islam adalah adil untuk semua," kata Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataannya, menafikan laporan akhbar The Star semalam.

Akhbar tersebut memuatkan berita "PAS won’t bow to pressure from any quarter, says Hadi" adalah tidak tepat dengan apa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menurut Dr Ahamad Samsuri lagi. Laporan berkenaan telah memberikan gambaran yang salah terhadap ucapan Presiden PAS di majlis Sua Kasih anjuran Pejabar Anggota Parlimen Titiwangsa itu.
Semalam, The Star melaporkan, Abdul Hadi tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak dalam melaksanakan agenda negara Islamnya termasuk Pakatan Rakyat. "Maksud laporan dalam pemberitaan akhbar The Star pada tarikh berkenaan adalah tidak benar dan tersasar dari apa yang diucapkan sama sekali," tegas Samsuri.

Sebelum itu Samsuri mengatakan maksud Presiden PAS sebenarnya menjelaskan bahawa PAS melihat perkembangan yang sangat positif di kalangan rakan dalam Pakatan Rakyat dalam memahami maksud Islam yang ingin dibawa oleh PAS, di mana ianya adalah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang turut di pertahankan oleh semua pihak dalam Pakatan Rakyat, katanya.

"Perubahan paradigma ini memperkukuhkan lagi kerjasama erat PAS bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, bertepatan dengan semangat dalam dasar bersama yang dipersetujui sebagaimana yang dirangkakan dalam Dasar Bersama Muafakat Rakyat," jelas beliau dalam kenyataannya.

Menurut Samsuri, apa yang dipertegaskan oleh Presiden PAS dalam majlis berkenaan adalah rentetan terhadap ucapan Presiden PAS di Konvensyen Pakatan Rakyat yang kedua di Pulau Pinang kira-kira hampir sebulan lalu bahawa PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan yang ingin dilaksanakan adalah semestinya dalam ruang lingkup perlembagaan. (IH)

Tiada ulasan: