16 Mac 2011

Kerajaan perlu adil agih peruntukan: Anwar

11 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan tidak bersikap adil kepada negeri-negeri diperintah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dalam memberi peruntukan pembangunan, kata Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Selangor umpamanya, mendapat RM400 juta atau hanya 2.9 peratus daripada hasil cukai yang dibayar kepada Kerajaan Persekutuan, iaitu RM16 bilion setiap tahun.

Menurutnya, nasib yang sama turut menimpa Pulau Pinang yang menerima jumlah lebih kecil daripada Selangor dan ini tidak seharusnya berlaku.

“Negeri Pakatan Rakyat mendapat rendah tapi negeri yang dipimpin Barisan Nasional (BN) menerima lebih daripada 20 peratus. Kita (rakyat) memberi RM16 bilion, tetapi hanya terima RM400 juta.

Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, meminta Kerajaan berlaku adil dalam mengagihkan peruntukan pembangunan.

Beliau berkata demikian kepada media di Wacana Ekonomi - Federalisme: Keadilan Dalam Mengagihkan Kekayaan Negara, di sini, semalam.

Anwar, yang juga Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor, berkata, semasa Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan diperintah BN negeri berkenaan mendapat peruntukan lebih besar dan ini menunjukkan berlakunya diskriminasi.

Beliau berkata, seharusnya ia berikan secara adil mengikut keperluan bagi setaiap negeri.

Katanya, perkara tersebut pernah disuarakan kepada Kerajaan Persekutuan tetapi sehingga kini tiada sebarang perubahan.

“Bila Kerajaan Negeri PR ia terus disekat, tetapi perkara sebaliknya berlakukan kepada negeri yang diperintah BN. Saya mengharapkan agar mereka ini lebih adil dalam soal pengagihan peruntukan pembangunan.

“Negeri Pakatan Rakyat, Kerajaan Persekutuan BN... kita terima ini tapi mesti iktiraf mandat yang diberikan rakyat,” katanya.

Anwar berkata, seharusnya Kerajaan Persekutuan, sebagai parti pemerintah, tidak mengabaikan kebajikan rakyat di semua negeri.

"Sepatutnya pemberian itu tidak mengira sama ada negeri itu milik PR atau BN kerana mereka adalah pengundi di negeri berkenaan.

“Apa yang membezakan adalah pemerintah di negeri itu sahaja," katanya.

Menurutnya perlu ada kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan semua negeri, termasuk yang diperintah PR untuk menjamin masa depan rakyat.

Sinar Harian/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Duit pak syeikh...macam2 boleh jadi..jadi kapal selamla,jadi C4 la,jadi unit FLOM la,jadi ic palsula...jadi DNAla dan yang penting demi pru 13 nak beli kami rakyat yang bodoh2 ni...kalau boleh satu malaysia nak diumpan je ngan Rm...RM a....R & M!