18 April 2011

Kumpulan Jual Telefon Bimbit Tiruan Tumpas, Sembilan Lelaki Ditahan

14 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR - Satu kumpulan menjual telefon bimbit tiruan tumpas berikutan penahanan sembilan lelaki dan rampasan 73 telefon dan dua buah kenderaan yang kesemuanya bernilai RM111,000 dalam satu operasi di sini hari ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Othman Nawang berkata kesemua mereka berumur antara 19 hingga 68 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Gombak ketika sedang asyik menawarkan telefon tiruan kepada orang ramai.

"Kejayaan operasi itu hasil risikan dan maklumat orang ramai sejak tiga minggu lepas. Ketika dihampiri anggota kami, mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap kerana kesalahan menjual barangan tiruan," katanya di lokasi kejadian di sini hari ini.

Dalam pemeriksaan awal, pihaknya menemui 73 telefon bimbit tiruan jenis Nokia dan i-phone4 di dalam poket mereka dan juga dalam dua kenderaan.

Kesemua mereka kini ditahan reman untuk satu tempoh bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 1(b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika disabit kesalahan pemilik premis itu boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, katanya. 

Bernama

Tiada ulasan: