18 April 2011

Warga Emas Nyaris Rentung

14 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


KOTA BHARU - Tindakan pantas seorang wanita warga emas menarik keluar suaminya yang uzur dan cacat penglihatan berusia 86 tahun, berjaya menyelamatkannya daripada rentung dalam kebakaran di Pondok Tahfiz Darulnaim, Peringat, semalam.

Kebakaran kira-kira pukul 5 petang itu memusnahkan tujuh buah rumah, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berikutan sebahagian besar penghuni tiada di rumah kerana bekerja.

Gambar hiasan

Dalam kejadian itu, warga emas terbabit, Aminah Harun, 70, nekad menarik keluar suaminya, Masud Ahmad sebaik sahaja terhidu bau hangit dari arah pintu belakang rumah mereka.

"Masa tu, saya baru sahaja selesai membaca al-Quran, namun tiba-tiba saya terhidu seperti bau hangit.

"Saya membuka pintu belakang untuk memeriksa punca bau itu dan alangkah terkejutnya ternampak rumah di belakang sudah terbakar dan api semakin marak.

"Menggunakan sepenuh kudrat, saya menarik suami keluar rumah yang sudah mula dijilat api tanpa dapat menyelamatkan harta benda," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Sementara itu, seorang guru pondok berkenaan, Mohd. Zukri Othman, 40, pula berkata, sebelum kejadian, dia melihat asap keluar dari salah sebuah rumah dan cuba memadamnya menggunakan air paip di kawasan berhampiran, tetapi gagal.

"Api marak dengan pantas sebelum penduduk menghubungi Bomba dan Penyelamat. Saya bersyukur kerana kebanyakan penghuni tiada di rumah.

"Jika tidak, mungkin berlaku perkara tidak diingini seperti kecederaan atau lebih teruk daripada itu," ujarnya.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Ketereh, Azman Yasok memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.29 petang dan tiga buah jentera bersama 20 anggota dari tiga buah balai bergegas ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Sejurus tiba, kesemua rumah papan berkenaan sudah 80 peratus hangus dan pihak kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke 30 rumah berhampiran.

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku disebabkan kebanyakan penghuni keluar bekerja atau ke masjid berhampiran. Kerugian dianggarkan RM70,000 dan punca kebakaran masih disiasat," katanya.

Tiada ulasan: