18 April 2011

Shamsul: JAWI dijangka siasat trio 'Datuk T'

14 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Ketua angkatan muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin berkata, beliau yakin Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menyiasat individu yang terlibat dalam satu tayangan video lucah kepada sekumpulan wartawan dan individu berkepentingan bulan lalu.

Shamsul Iskandar berkata demikian selepas disiasat hampir dua jam oleh JAWI hari ini berhubung dakwaan Qazaf (tuduhan perbuatan zina) yang dilakukan ke atas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya lagi, JAWI telah meminta beliau untuk hadir semula bagi memberi keterangan lanjut berhubung penayangan video yang dijalankan di sebuah hotel ternama itu.
Khususnya, maklumat berkenaan adalah berhubung penglibatan individu tertentu yang bertanggungjawab mendedahkan video lucah tersebut, kata Shamsul lagi.

"Saya yakin JAWI ada komitmen dan nampak bersungguh untuk siasat kes ini. Saya tidak mahu buat andaian awal, tetapi (kes Qazaf) perlu dibawa ke mahkamah syariah untuk dibuat pendakwaan," katanya kepada media hari ini.

Siasatan ke atas Shamsul Iskandar itu dijalankan susulan laporan yang dibuatnya kepada JAWI pada awal bulan ini, berhubung dakwaan Qazaf berkenaan.
Laporan berkenaan dibuat mengikut seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pada 23 Mac lalu, tiga orang individu termasuk bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengakui bahawa mereka merupakan trio 'Datuk T' yang bertanggungjawab menyimpan dan menayangkan video berkenaan kepada sebahagian wakil media di Carcosa Seri Negara, dua hari sebelumnya.

Dua lagi invidu terlibat ialah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim.

Malaysiakini/-
Abdul Rahim Sabri

Tiada ulasan: