20 Jun 2011

Bersih bukan penggodam web

18 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2.0 (Bersih 2.0) menyangkal dakwaan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mereka terlibat dalam serangan siber terhadap laman web kerajaan bermula empat hari lalu.

Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Datuk Dr Toh Kin Woon berkata, pihaknya tidak niat jahat terhadap kerajaan lebih-lebih lagi dalam isu itu.

“Bersih menuntut keadilan dan ketelusan dalam pilihan raya sahaja, tiada agenda lain selain itu. Apa yang dikatakan beliau (Rais) adalah fitnah.

“Kami mahu, antara lain, bersihkan senarai pengundi, tempoh berkempen selama 21 hari sebelum pengundian dan penggunaan dakwat kekal kepada pemilih,” katanya.

Jumaat lalu, 198 laman web rasmi kerajaan dilaporkan digodam dan Rais percaya, serangan itu ada kaitan dengan penganjuran perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai depan.

Menurutnya, tindakan itu dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak patriotik kepada negara.

Kin Woon berkata, perhimpunan Bersih 2.0 adalah berniat baik, hanya bawa suara rakyat yang mahu demokrasi pilihan raya sebenar.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Harris Ibrahim berkata, apa yang didakwa menteri itu sama sekali tidak masuk akal.

“Untuk apa kami mahu menggodam laman web itu? Beliau menuduh tanpa bukti. Jika kami terlibat, tunjukkan bukti,” katanya.

sinarharian/-

Tiada ulasan: