20 Jun 2011

Kereta kebal Syria ceroboh Turki

18 Rejab 1432H. [MOD] -

IMEJ yang diambil daripada laman web menunjukkan kereta kebal tentera Syria memasuki perkampungan Bdama di sempadan Turki, semalam.
Tentera masuk kawasan kampung dalam usaha banteras pemberontak

DAMSYIK: Kereta kebal tentera Syria menceroboh masuk ke kawasan perkampungan di sempadan Turki yang menempatkan 10,000 pelarian dari negara Arab itu semalam, kata aktivis, ketika Washington memberi amaran kepada Damsyik berikutan tindakan kerasnya ke atas penunjuk perasaan.

Ketua kumpulan aktivis Pemerhati Hak Asasi Syria, Rami Abdel Rahman, berkata sekurang-kurangnya enam kereta kebal dan 15 kenderaan membawa anggota tentera memasuki perkampungan Bdama di sempadan Turki dalam usaha membanteras pemberontak di wilayah Idlib di barat laut negara itu.

Beliau berkata pertempuran sengit berlaku di perkampungan yang terletak beberapa kilometer dari bandar Jisr al-Shughur yang menjadi tumpuan utama pemberontak.

Agensi berita Anatolia melaporkan, jumlah pelarian kini 10,000 orang dan kian meningkat apabila 421 orang lagi rakyat Syria tiba di khemah Pertubuhan Bulan Sabit Merah di wilayah Hatay.

Penduduk Bdama sebelum ini dilaporkan membantu pelarian Syria melarikan diri ke sempadan dari Jisr al-Shughur dan menyeberang masuk ke Turki.

“Sekurang-kurangnya 19 terbunuh dalam tunjuk perasaan di Damsyik kelmarin. Tunjuk perasaan turut berlaku di beberapa bandar lain termasuk di Jableh di barat dan Suweida di selatan Damsyik, tetapi ia berjaya disuraikan oleh anggota polis yang berkawal dengan menggunakan belantan,” katanya.

Abdel Rahman berkata kejadian terburuk akibat tunjuk perasaan berkenaan berlaku di bandar Homs apabila lima ditembak mati bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Beribu-ribu orang menghadiri upacara pengebumian mereka yang terbunuh sebelum mengadakan tunjuk perasaan di masjid utama di bandar itu.

“70,000 orang menghadiri upacara pengebumian terbabit sambil melaungkan slogan anti rejim pemerintah dengan penuh kemarahan,” katanya.

Sementara itu, pemimpin Liga Arab, Amr Mussa melahirkan kebimbangan dengan keadaan di Syria yang kian meruncing.

“Dunia Arab semakin gusar dengan perkembangan yang berlaku di Syria,” katanya kepada wartawan di Kaherah dan menegaskan isu itu menjadi tajuk utama dalam perbincangan antara pemimpin di wilayah berkenaan.

Sementara itu, di Washington, Amerika dilapor menimbang secara serius untuk mengenakan dakwaan melakukan jenayah perang ke atas Damsyik dalam usaha menekan Syria supaya menghentikan tindakan ganasnya.

Tindakan lain termasuk sekatan ke atas sektor minyak dan gasnya selain kempen diplomatik bagi meningkatkan tekanan ke atas Presiden Bashar al-Assad.

Aktivis berkata bantahan dan tunjuk perasaan di Syria yang memasuki bulan keempat, setakat ini meragut kira-kira 1,309 nyawa penduduk awam dan 341 anggota keselamatan. – AFP

Tiada ulasan: