20 Jun 2011

Kalau menang, Pakatan dah sedia jawatan untuk Najib

18 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM,: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno BN sedang berusaha keras mencari jalan memecahkan perpaduan di antara PAS, PKR dan DAP.

Bercakap sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan di Konvensyen Pilihanraya Keadilan di sini, beliau mengingatkan seluruh pemimpin dan ahli PKR di segenap peringkat agar bersedia menghadapi taktik kotor Umno BN.

Umno BN, jelasnya kini terdesak dan akan menghalalkan segala tindakan bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

"Pastikan hubungan kita dengan PAS dan DAP erat kerana Datuk (Seri) Najib (Razak) masih merencana bagaimana nak pecahkan kita.

"Mereka menggunakan polisi penjajah iaitu pecah dan perintah. Kita harus waspada", katanya dihadapan lebih 4,000 ahli PKR yang hadir dari seluruh negara memenuhi Dewan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Antara taktik kotor Umno BN itu jelasnya, tindakan "membeli" pemimpin tertentu dari Pakatan Rakyat untuk dijadikan "tukang karut" menghentam dan memfitnah pemimpin dan dasar Pakatan Rakyat.

"Menjelang pilihan raya harga naik, bukan harga barang tapi harga tokoh-tokoh khianat.

"Mereka akan cari, tak dapat pemimpin kanan, pemimpin negeri. Tak dapat negeri, pemimpin cabang. Tak dapat cabang, pemimpin ranting. Tak dapat ranting, pemimpin tewas termasuk yang gagal menjadi calon", katanya melontar jangkaan.

Sehubungan itu beliau memberi ingatan kepada seluruh ahli PKR bersedia berdepan bakal "pengkhianat" itu.

Mengulas peluang Pakatan Rakyat pada PRU-13, Anwar yang juga Ketua Pembangkang yakin jalan ke Putrajaya makin hampir.

"Kalau tidak kerana penyelewengan dan taktik kotor Umno BN pada PRU 2008, tak payah tunggu 2011 ni, sekarang ini kita sudah berada di Putrajaya," jelasnya disambut sorakan hadirin.

Namun apa yang penting tegasnya, setiap ahli perlu berkerja keras bukan sahaja menyampaikan maklumat sebenar kepada pengundi, malah menyekat taktik kotor Umno BN itu jika mahu menguasai Putrajaya pada PRU akan datang.

"Ada PRU kita menang insya Allah... Ada kata worst case scenario, Anwar masuk penjara. Saya kata Anwar masuk penjara, tapi kita menang.

"Satu lagi best case scenario, Anwar tak masuk penjara, dan kita menang," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Konvensyen pilihan raya Keadilan merupakan kali pertama seumpamanya di Malaysia dan belum pernah diadakan mana-mana parti politik lain sebelum ini.

Dengan tema "Demi Rakyat" konvensyen itu menghimpunkan perwakilan PKR dari seluruh negara untuk mendengar amanat pimpinan tertinggi menjelang pilihan raya umum ke-13 yang mungkin berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

"Ada orang tanya, kalau Pakatan menang, apa nak buat dengan Datuk Najib. Tak mengapa, kita dah sedia jawatan untuk dia," kata Anwar.

Nazri Abdullah
harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mimpi mat jenin je korang ni.. anwar pun tak tau nak bagi jawatan apa kat najib sebab dia memang tau perkara tu tak akan berlaku..