20 Jun 2011

'Negara saya hampir sama dengan M'sia'

18 Rejab 1432H. [MOD] -

Guinea boleh menjalin hubungan dan belajar lebih banyak dari Malaysia berbanding negara-negara Eropah kerana kedua-dua negara itu berkongsi banyak persamaan.

Perwakilan dari Guinea, Ismail Nabe, yang mewakili sektor swasta negara itu, berkata adalah lebih wajar untuk menjalin usahasama dengan Malaysia memandangkan perbezaan antara Guinea dan negara-negara maju Eropah terlalu besar.

Kebanyakan negara Eropah telah maju sepenuhnya sejak berdekad lepas, katanya kepada Bernama di luar program Dialog Antarabangsa Langkawi Kesembilan 2011 (LID 2011).

Ismail berkata ini merupakan sebab mengapa platform seperti LID sangat penting kerana kerjasama antara negara boleh menghasilkan situasi menang-menang.

"Negara saya hampir sama dengan Malaysia. Kami mendapat kemerdekaan pada masa yang hampir sama dengan kemerdekaan Malaysia dan kami juga mempunyai iklim yang sama. Jadi apa sahaja yang berjaya dilaksana di Malaysia boleh juga berjaya di Guinea.

"Sebagai tambahan, 85 peratus daripada penduduk kami beragama Islam. Sebagai negara Islam kita berkongsi budaya yang sama," katanya sambil menambah bahawa fokus LID tahun ini mengenai teknologi, perkongsian bestari dan pembangunan sosial boleh digunakan oleh Guinea.

"Kami meninjau pelabur dari Malaysia untuk melabur di Guinea dan sebaliknya. Kami mahu bekerjasama erat dengan rakan kongsi dari Malaysia untuk meningkatkan usahasama ini.

"Kini, pilihan raya telah lepas, kami mencari pelabur dalam pembangunan infrastruktur dan industri makanan, pertanian serta perlombongan.

Guinea mempunyai sumber asli yang banyak, termasuk lebih 25 peratus simpanan bauksit yang terkenal di dunia selain logam lain seperti alumina, berlian dan emas.

Tiada ulasan: