18 Rejab 1432H. [MOD] -
LEKIR - Seorang murid lelaki tahun dua maut sementara 20 yang lain cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres di Kilometer 8.0 Jalan Lekir-Teluk Intan, di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, mangsa bersama lima ahli keluarga lain menaiki kereta dalam perjalanan dari Klang menuju ke Manjung.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, daripada siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu bapa mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas yang membawa muatan 26 penumpang.
Akibat pertembungan itu, menurutnya, kereta jenis Proton Waja yang dipandu, Maruan Jalil, 41, remuk di bahagian hadapan sementara bas yang dikatakan baru sahaja bertolak kira-kira 15 minit itu tergelincir ke longkang berhampiran.
“Tiga dilaporkan parah sementara 17 penumpang bas ekspres termasuk pemandu bas, Julie Marail, 32, yang mengalami patah tangan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Seri Manjung.
“Mereka yang parah termasuklah Maruan dan anak perempuannya serta seorang penumpang bas dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Jamil berkata, pihaknya dimaklumkan, bas berkenaan baru sahaja bertolak dari Hentian Bas Manjung menuju ke LCCT Sepang, Selangor.
Baki 12 lagi penumpang bas ekspres terpaksa meneruskan perjalanan kerana dimaklumkan telah menempah tiket penerbangan ke destinasi masing-masing.
Enam sekeluarga berkenaan dikatakan dalam perjalanan pulang dari bercuti di Klang, Selangor.
Maruan yang berasal dari Sabah bekerja di sebuah syarikat perkapalan di kawasan Manjung.
Difahamkan, 17 penumpang bas yang dirawat di Hospital Seri Manjung telah dibenarkan keluar awal pagi tadi.
Seorang penduduk, Azimi Zahari, 52, berkata, ketika berada di tempat kejadian, dia sempat membantu Maruan yang cedera parah.
“Ketika itu saya lihat kepala seorang kanak-kanak lelaki yang berada dalam kereta berlumuran darah.
“Beberapa penumpang bas ekspres lain sudah turun dan ada yang terbaring di tepi jalan raya,” katanya.
sinarharian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan