24 Jun 2011

Lebih 300 pekerja berpiket

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Lebih 300 pemeriksa kenderaan di Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) mengadakan piket kelmarin kerana tidak berpuas hati dengan isu kebajikan.

Presiden NUCW, Mustapa Kasim berkata, melalui piket itu, mereka cuba menyuarakan berhubung pertikaian perjanjian bersama antara NUCW dan Puspakom dalam isu kebajikan pekerja.

Menurutnya, sejak Mac tahun lalu, proses rundingan perjanjian bersama dibuat sebanyak tujuh kali, namun syarikat tetap enggan melakukan perubahan daripada cadangan asal (syarikat) yang boleh diterima kesatuan.

“Kita (NUCW) beri beberapa cadangan berkaitan faedah persaraan dan perubatan, kos elaun saraan hidup, bonus, pelarasan gaji serta struktur gaji (kenaikan tahunan) tetapi ditolak syarikat.

“Syarikat sebaliknya beri pelarasan gaji lima peratus yang tidak langsung mengambil kira kadar inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya kelmarin.

Mustapa berkata, kakitangan juga tidak berpuas hati dengan perubahan jam waktu operasi (bekerja) daripada 48 jam seminggu kepada 60 jam seminggu yang dilaksanakan sejak Selasa lalu.

Menurutnya, mereka juga tidak berpuas hati berhubung pemberian gaji kerana pekerja baru menerima gaji lebih tinggi daripada pekerja lama.

Sementara itu, Jabatan Komunikasi Puspakom dalam kenyataan balas menyifatkan beberapa dakwaan NUCW, termasuk syarikat mengabaikan kebajikan pekerja, sebagai tidak benar.

Menurutnya, tuduhan syarikat menolak beberapa cadangan NUCW adalah tidak benar, sebaliknya ia masih dalam proses rundingan.

“Syarikat bersetuju dengan beberapa cadangan NUCW, namun bagi cadangan yang masih dalam proses rundingan, mereka enggan meneruskannya.

“Dakwaan syarikat mengurangkan umur persaraan daripada 60 kepada 56 tahun adalah tidak benar kerana kedua-dua belah pihak bersetuju bagi pekerja-pekerja baru, umur persaraannya adalah 56 tahun dan syarikat juga tidak berhasrat mengurangkan umur persaraan bagi pekerja sedia ada seperti ditawarkan iaitu 60 tahun,” katanya kenyataan media itu semalam.

Mengenai klasifikasi baru kakitangan pemeriksaan kenderaan daripada bukan eksekutif kepada eksekutif, Puspakom mempunyai dua skim perjawatan.

Menurut kenyataan itu, Puspakom memastikan bahawa jumlah waktu bekerja setiap pemeriksa kenderaan tidak melebihi had ditetapkan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955.

sinarharian/-

Tiada ulasan: