24 Jun 2011

China mangsa cuaca

22 Rejab 1432H. [MOD] -

DI perkampungan Huanshan, di tengah-tengah wilayah Hubei atau lebih dikenali sebagai Tanah bagi Seribu Tasik, penduduknya beratur panjang sambil membawa bekas plastik untuk mengambil air yang dihantar oleh jentera bomba.

Air bersih yang diperoleh digunakan sebaik mungkin, seperti siapa antara anggota keluarga yang akan membasuh tangan atau membasuh beras terlebih dahulu, sebelum digunakan sekali lagi untuk menyiram tanaman atau memberi minum pada ternakan, kata Ketua Kampung, Yu Chunming.

“Penduduk kampung tidak mahu membazir air walaupun ia telah beberapa kali digunakan, tidak kira sekotor mana airnya,” ujarnya.

Sungai Yangtze yang sekian lama menjadi nadi penduduk di beberapa wilayah di China seperti Hunan, Hubei, Jiangxi, Jiangsu dan Anhui kini mengalir lesu. Kemarau panjang yang berlaku sejak awal tahun lalu telah menyebabkan paras air turun mendadak.

Sungai sepanjang 6,418 kilometer yang juga diiktiraf ketiga terpanjang di dunia itu mencatatkan paras taburan hujan terendah sejak tahun 1961 iaitu kurang 40 hingga 60 peratus berbanding kadar sebelumnya.

Di wilayah Jiangxi, bot-bot nelayan tersadai di atas padang rumput yang sebelum itu merupakan bekas Tasik Poyang iaitu tasik air tawar terbesar di China.

“Saya tidak pernah melihat kemarau seburuk begini. Lihatlah beras kami, semuanya bertukar kuning dan akan mati sekiranya hujan tidak turun,” kata seorang petani, Ouyang Jinghuang, 66, yang mengusahakan tanaman padi berhampiran tasik berkenaan.

“Kami semua terpaksa menggali perigi dan membeli air untuk mendapatkan air bersih. Lazimnya kami hanya bimbangkan tentang banjir, bukan kemarau.”

Krisis air

Pihak berkuasa menyatakan 1,300 tasik di negara itu kini kering akibat kemarau. Bencana alam itu menyebabkan masalah pengairan dan krisis bekalan air bersih.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh State Flood Control and Drought Relief Headquarters (SFDH) memberitahu, kemarau menyebabkan seramai 4.4 juta rakyat dan 3.2 juta tanaman dan ternakan di lima wilayah berkenaan terjejas.

Kerajaan pusat menghantar pam air dan penjana kuasa di Hubei dan Hunan bagi membekalkan air di kawasan-kawasan terjejas teruk dalam usaha mengurangkan impak kemarau. Malah Empangan Three Gorges iaitu sebuah projek elektrik hidro terbesar di dunia turut melepaskan airnya bagi tujuan yang sama.

Tatkala semua pihak berusaha mencari penyelesaian bagi menangani kemarau yang melanda sejak enam bulan lalu, China tiba-tiba dikejutkan dengan kejadian banjir terburuk yang berlaku dalam tempoh 50 tahun di negara itu.

Hujan lebat yang berterusan sejak 3 Jun lalu di kawasan selatan dan tengah di negara itu menyebabkan air Sungai Yantze meningkat melebihi paras selamat.

Beberapa wilayah seperti Zhejiang, Jiangsu, Hunan, Hubei, Jiangxi and Guizhou yang kering kontang akibat kemarau sebelum ini kini mula ditenggelami air.

Rangkaian televisyen tempatan yang sebelum ini sering memaparkan imej tasik-tasik kering kini memaparkan kediaman penduduk yang ditenggelami air dan bot-bot yang tersadai di atas jalan raya.

Kementerian Luar Awam China melaporkan sekurang-kurangnya 175 mangsa terkorban akibat dihanyutkan air atau kejadian tanah runtuh, manakala 86 mangsa dilaporkan masih hilang.

Pihak Kementerian berkata, sebanyak 13 wilayah terjejas teruk dalam banjir manakala lebih 1.6 juta penduduk telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Di samping kematian, lebih 1,000 perniagaan dan lebih 400,000 hektar kawasan tanaman telah musnah akibat banjir selama lebih dua minggu itu. Jumlah kerugian yang dicatatkan dianggarkan mencecah AS$5.4 billion (RM16.3 bilion).

Menurut agensi berita tempatan, beberapa pasar besar sekitar di Hangzhou, ibu kota Zhejiang, harga buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin telah meningkat kira-kira 40 peratus, jauh lebih tinggi daripada sebulan lalu. Harga makanan juga dilaporkan meningkat di wilayah Anhui dan Jiangxi.

Kesan itu telah meningkatkan kadar inflasi ke paras lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun. Harga makanan pada bulan Mei naik 11.7 peratus daripada tahun sebelumnya, lebih daripada dua kali kenaikan 5.5 peratus dalam harga indeks pengguna.

Sementara itu, seorang penduduk yang dipindahkan berasal dari Zhuji, sebuah bandar di selatan Zhejiang memberitahu penduduk kini mula beransur-ansur pulang ke kediaman mereka.

Shou Qoingdam, 22, memberitahu Reuters bahawa dua tambak yang dibina bersebelahan dengan bandar mungkin telah dibaiki, bagi mengelakkan malapetaka yang lebih besar.

“Ketika air mula-mula memasuki tambak, rekahan tidaklah begitu besar, ia mampu dibaiki dengan mudah.

“Bagaimanapun kerajaan tidak berbuat apa-apa. Disebabkan itu kita mengalami kerugian ekonomi yang agak tinggi dan menyebabkan ramai penduduk yang terjejas akibat banjir.”

Suhu global

Peralihan iklim yang dramatik itu selaras dengan trend cuaca yang telah dikenal pasti oleh Pusat Iklim Beijing dua tahun lalu yang menyatakan hujan akan turun dalam waktu yang singkat, lebat sebelum diiringi kemarau yang berpanjangan.

Pusat itu turut memberi amaran bahawa peningkatan suhu global akan menyaksikan kekerapan berlakunya kemarau, banjir dan ribut.

Chen Zhenghong, jurutera kanan di Biro Meteorologi Hubei, wilayah tengah China pula berkata, peralihan ketara antara kemarau dan banjir di timur dan tengah China mempunyai kaitan dengan kesan pemanasan global.

“Biasanya hujan bermula di tengah-tengah bulan Jun dan paras lembah Sungai Yangtze yang rendah akan meningkat sebaik sahaja musim hujan monsun dan ribut taufan bermula.

“Bagaimanapun hujan yang mencurah-curah turun sejak awal bulan lalu menyebabkan banjir dashyat dalam tempoh beberapa dekad,” katanya.

Sementara itu, menurut satu laporan yang dikeluarkan firma insurans di Jerman, Munich Re, angka bencana alam di China melibatkan ribut ganas, banjir, peningkatan suhu, kemarau dan kebakaran hutan meningkat kepada 48 kes pada tahun 2010 berbanding 11 kes pada awal 1980-an.

Ketua Penyelidikan Georisk Munich, Peter Hoeppe, menggariskan arah aliran jangka panjang dan risiko yang dikaitkan dengan perubahan iklim.

“Banjir dahsyat di China adalah dimensi dramatik, satu fenomena yang malangnya berlaku di China dengan kekerapan meningkat sejak beberapa dekad lalu.

“Setiap tahun, berjuta-juta rakyat China menjadi mangsa cuaca yang berkaitan dengan bencana alam. Risiko semakin meningkat, perubahan iklim mengakibatkan potensi hujan lebat di samping risiko kemarau di kawasan-kawasan tertentu juga meningkat,” katanya dalam satu e-mel yang dilaporkan oleh AFP baru-baru ini.

kosmo/-

Tiada ulasan: