22 Rejab 1432H. [MOD] -
BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitu ungkapan sesuai bagi menggambarkan kepayahan yang harus ditanggung sebahagian wanita yang membesarkan anak-anak tanpa sokongan suami selepas bergelar ibu tunggal.
Pelbagai usaha dan cara yang cuba dilakukan mereka apatah lagi mereka ditinggalkan tanpa sebarang nafkah perbelanjaan bagi menyara anak-anak.
Menerusi bengkel memperkasakan wanita anjuran Proton baru-baru ini, seramai 50 ibu tunggal berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti dalam usaha memberi sokongan motivasi dan bimbingan selepas ditinggalkan suami.
Ikuti luahan pengalaman beberapa peserta bengkel seperti diceritakan kepada wartawan, Hajahfarhana Tarmudi (wanitametro@hmetro.com.my) mengenai kepayahan mereka selepas bergelar ibu tunggal serta bimbingan pakar kewangan bagi memantapkan ekonomi keluarga.
LIN, 28, berasal dari Sungai Petani, Kedah kini masih tidak mendapatkan status atau bukti yang menyatakan dia sudah bercerai dengan suaminya.
Keputusan berkahwin di Siam dulu menyusahkannya kini untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan kerana tidak memiliki dokumen yang mengesahkan dirinya sebagai ibu tunggal.
“Saya tidak mengambil dokumen perkahwinan ketika bernikah di Siam dan ini menyebabkan saya kini sukar mendapatkan bantuan untuk anak-anak yang semakin membesar selepas bercerai dengan suami.
“Saya pernah merujuk perkara ini di Jabatan Agama Islam Kedah untuk mengetahui cara bagi menyelesaikan masalah ini. Namun, kami diminta membayar RM1,000 sebagai denda bagi menjalankan proses mendapatkan sijil perceraian.
“Saya tiada duit sebanyak itu sebab saya juga harus membayar sewa rumah yang sudah lama tidak dijelaskan pembayarannya, malah bekalan elektrik dan air pun dipotong.
“Lantas, saya terpaksa berfikir dengan bijak cara untuk mencari rezeki demi kasih kepada anak-anak dengan belajar cara membaiki kereta, mengecat dan mempelajari selok-belok mengenai enjin untuk diterima bekerja di bengkel.
“Minat saya memang ke arah pekerjaan itu jadi saya tekadkan diri untuk meneruskannya bagi membayar sewa rumah dan perbelanjaan anak-anak,” katanya yang mempunyai empat anak berusia antara empat hingga 11 tahun.
Menceritakan kembali detik ketika bersama bekas suami, dia sering ditinggalkan sehingga lima hingga enam bulan kerana suami bekerja di bidang perkapalan.
“Suami berikan kami wang apabila pulang dan saya yang menguruskan segala perbelanjaan. Namun, suami pastikan segala pembelian dicatat dengan alasan mahu berjimat.
“Suami juga gemar menjauhkan diri daripada keluarga, rakan dan saudara-mara kerana dia tidak suka diganggu. Adakalanya apabila pulang ke rumah kami juga tidak dihiraukannya.
“Dia juga kurang memberi layanan baik kepada anak ketiga kami kerana menganggap itu bukan darah dagingnya. Hati mana yang tidak sedih?
“Tetapi kini saya boleh melakukan kerja yang saya minati dan memperoleh pendapatan bagi membesarkan anak-anak supaya mereka mendapat pendidikan yang baik.
“Sebagai ibu tunggal, mungkin kita berfikir kepayahan hidup kita, tetapi sebenarnya ada insan lain yang lebih sukar daripada kita,” katanya yang ditemui pada bengkel memperkasakan ibu tunggal anjuran Proton berkenaan.
Lin juga berharap supaya masalah berhubung status perceraiannya dapat diselesaikan dengan segera.
Wanita berketurunan Punjabi yang menjadi ibu tunggal sejak tiga bulan lalu, Noor, 37, mula memeluk Islam pada Januari 2001.
Dia berkahwin dengan suaminya yang diharap dapat membimbing dirinya menjadi isteri yang baik namun suaminya mula menunjuk belang dengan memukulnya hanya selepas sehari berkahwin.
“Bekas suami seorang guru silat dan selalu memukul saya. Kemuncaknya apabila bekas suami menendang perut ketika saya mengandung menyebabkan anak dalam kandungan meninggal dunia.
“Disebabkan itu, saya meminta cerai kerana apa dilakukannya ke atas diri saya.
“Namun, dia pula meminta duit sebanyak RM40,000 daripada keluarga saya sebagai membayar tuntutan perceraian,” katanya yang akhirnya berjaya melepaskan diri daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Selepas bercerai pada 2003, dia memulakan hidup baru dan berkahwin kali kedua dengan seorang warga Pakistan.
“Perkahwinan pada 2009 �dengan suami kedua diharap dapat membuka sinar baru. Namun, kisah lalu berulang kembali kerana sekali lagi saya menjadi mangsa dera suami.
“Kisah bermula apabila mengandung kerana suami tidak bersetuju untuk mempunyai anak ketika itu.
“Suami mula memukul saya di atas sejadah ketika kandungan mencecah usia dua bulan. Apabila saya enggan menggugurkan kandungan, dia memukul saya berterusan,” katanya.
Noor tetap dengan pendiriannya untuk melahirkan anak walaupun suami tidak menyukainya lantas si suami mula mengabaikan dirinya selepas dia melahirkan anak.
“Apabila diselidik, dia mempunyai perempuan lain. Jika ditanya, saya dimarahi dan dia mengugut untuk meninggalkan saya.
“Akhirnya, saya diceraikan dengan talak tiga oleh bekas suami hanya kerana dia tidak suka dengan anak perempuan kami,” katanya yang mempunyai anak berusia lapan tahun dan setahun ini.
Nasibnya baik, dia mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh kerana bekerja sebagai setiausaha di pejabat kedutaan. Kini dia tinggal bersama keluarga yang banyak membantunya menghadapi cabaran bergelar ibu tunggal.
Perunding Latihan dan Motivasi Profesional, Ahmad Fadzli Yusof, beranggapan ibu tunggal harus memantapkan diri dengan mendalami pelbagai aspek ilmu keibubapaan dan pengurusan kewangan bagi menghadapi pelbagai situasi sukar.
“Mereka perlu menambah pengetahuan selain harus sentiasa fokus dengan peranan dan tanggungjawab terutama kepada ahli keluarga.
“Ibu tunggal mempunyai tanggungjawab berganda yang harus dipikul, mereka bukan hanya menjadi ibu malah berperanan sebagai ayah.
“Jadi, mereka harus menjadi lebih kuat daripada pelbagai aspek dan harus menyiapkan mental dan emosi terutama untuk masa depan keluarga,” katanya.
Memetik kisah dalam buku yang dihasilkan Fadzli dan Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah bertajuk Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah, ia menggunakan prinsip itik berenang yang bermaksud kelihatan tenang, tetapi mungkin kita tidak tahu keadaan sebenar di bawah permukaan air - kaki itik sedang bekerja keras bagi memastikan badannya bergerak ke hadapan.
“Tetapi kita tidak nampak kerana ia berada di bawah permukaan air dan itik bekerja keras bagi memastikan dirinya tidak dibawa arus deras sungai.
“Adakah ia merasakannya sebagai bebanan? Itik tidak menganggap itu sebagai satu bebanan kerana haiwan itu memang suka berenang.
“Begitu juga dengan mereka yang berjaya. Nampak tenang, tetapi minda dan fikiran mereka sebenarnya sentiasa bekerja bagi memastikan hidup terus maju ke hadapan.
“Mereka selalu berfikir dan merancang hidup supaya tidak membiarkan diri dibawa arus kehidupan yang mencabar malah sering menganalisa serta merancang kehidupan,” katanya.
Sekiranya ingin berjaya, kita juga harus sentiasa menggunakan perkataan positif dalam menetapkan matlamat hidup apatah lagi ketika menghadapi kesukaran hidup.
“Kata-kata negatif seperti hidup susah dan sedih akan membuatkan diri mereka tidak dapat lari daripada masalah sebaliknya akan sentiasa menghadapi perasaan kecewa berpanjangan.
“Selain itu, matlamat juga harus spesifik kerana ia akan membuatkan kita menjalankan usaha lebih tegas dalam mencapai kejayaan yang ditetapkan oleh diri sendiri,” katanya.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan