24 Jun 2011

Kerajaan Gagal Tangani Isu Biasiswa JPA

22 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 24 JUN : Kerajaan di bawah pimpinan Najib Razak kini dilihat seolah-olah mahu melarikan diri daripada terus menjelaskan kepada rakyat berhubung ketelusan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan cemerlang.

Hal ini terbukti apabila Putrajaya mengumumkan untuk merombak dasarnya apabila hanya akan menganugerahkan biasiswa JPA kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian ijazah dan bukannya kepada calon cemerlang SPM bermula tahun hadapan.

Malah Najib sendiri mengakui ia bagi mengelak masalah rungutan dan kritikan yang kedengaran mutakhir ini.

Namun menurut Pengerusi Biro Pendidikan PKR, Abbas Awang, tindakan tergesa-gesa kerajaan itu bakal mengundang masalah keciciran kepada pelajar-pelajar cemerlang lepasan SPM yang menjadi aset negara pada masa hadapan.

"Keputusan SPM menggambarkan keputusan yang penting, pelajar-pelajar yang cemerlang dan terpilih itu sepatutnya diberi keutamaan mereka untuk memilih jurusan-jurusan tertentu dan sepatutnya mereka ini diberikan biasiswa,"katanya kepada Tv Selangor.

Abbas juga tidak dapat menerima alasan yang dikemukakan oleh Najib yang mengatakan bahawa pemberian biasiswa di peringkat SPM bukan satu idea yang baik, sekaligus menimbulkan pertikaian sama ada kerajaan telus selama ini membantu pelajar-pelajar lepasan SPM.

"Saya fikir itu alasan yang tidak logik semata-mata kerana dana biasiswa itu tadi telah disalahgunakan untuk perkara lain.

"Itu hanyalah alasan kerajaan. Berdasarkan pemerhatian mereka ini daripada SPM melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi dan lain-lain, terbukti mereka telah berjaya dalam jurusan yang mereka pilih. Cuba tengok rekod-rekod daripada JPA sendiri, hanya segelintir kecil sahaja yang gagal sebaliknya 90% mereka telah berjaya,"ujar Abbas.

Najib sebelum ini mendakwa, dasar sedia ada patut disemak semula kerana kerajaan juga mengambil kira bahawa pemberian biasiswa di peringkat SPM bukan idea yang bagus kerana ia setaraf dengan O-level.

"Memberikan biasiswa di peringkat SPM bukan idea yang bagus. Malahan jika pelajar cemerlang dalam O-level mereka, ini tidak bermakna mereka akan cemerlang dalam A-level mereka.

"Jadi akan diadakan semakan menyeluruh terhadap dasar kami tahun depan," kata Najib semasa menjawab soalan seorang pemanggil semasa ditemu bual di konti Radio One FM di Sri Pentas.

Semalam misalnya Parti Hak Asasi Manusia (HRP) sekali lagi tampil menuntut keadilan di atas penafian kerajaan Malaysia terhadap pelajar India dalam pemberian biasiswa JPA,pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan juga penempatan mereka di matrikulasi dan universiti.

Menurut Ketua Penerangan HRP, S Jayathas,seramai 2,237 pelajar India yang cemerlang dinafikan daripada mendapat biasiswa dan pinjaman serta tidak mendapat tempat yang selayaknya di peringkat universiti.

Masalah agihan biasiswa JPA 2011 sebelum ini penuh kontroversi hingga menyebabkan ramai pelajar cemerlang SPM 2010 yang layak tidak menerima biasiswa itu dan menimbulkan pelbagai tanda tanya.

tv selangor/-

Tiada ulasan: