22 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Empat anggota polis termasuk seorang wanita yang sebelum ini ditahan reman kerana disyaki terlibat dalam kes peras ugut, Khamis lepas, telah dibebaskan dengan jaminan polis, Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kesemua mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul itu dibebaskan atas arahan Timbalan Pendakwa Raya. "Mereka kini akan bertugas di bahagian yang tidak berurusan dengan orang awam untuk tempoh tertentu," katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Sebelum itu, beliau menerima replika kunci 60 kereta jenis Chevrolet Captiva dari Ketua Pegawai Operasi Naza Quest Sdn Bhd, Datuk Maruan Mohd Said, untuk kegunaan rasmi polis pada Pameran dan Persidangan Kedua Peralatan Polis (GPEC) Asia 2011 bermula 27 hingga 29 Jun ini.
Ku berkata kertas siasatan mengenai kes jenayah ugut itu akan disiapkan tidak lama lagi sebelum diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk semakan dan tindakan lanjut.
Dalam kejadian itu, empat anggota polis terbabit berumur antara 28 hingga 34 tahun ditahan sehari selepas kejadian ugut berikutan satu laporan polis yang dibuat seorang lelaki tempatan.
Kejadian berlaku di sekitar daerah Sentul apabila seorang lelaki yang sedang memandu keretanya ditahan empat anggota polis terbabit.
Keempat-empat mereka mendakwa lelaki berkenaan membawa dadah di dalam keretanya dan mengugut supaya memberikan RM5,000 sebagai balasan kes itu tidak menjadi kes polis.
Terdahulu di majlis itu, Maruan berkata kereta tersebut akan digunakan untuk membawa tetamu bagi memastikan kelancaran sepanjang pameran berlangsung.
GPEC akan diadakan secara besar-besaran dan melibatkan penyertaan menteri dari negara-negara anggota Asean dan beberapa negara lain.
GPEC merangkumi pameran, demonstrasi produk serta persidangan yang akan melibatkan kertas kerja oleh Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan