12 Syaaban 1432H. [MOD] -
TASEK – Walaupun berputih mata kerana rantai emas bernilai RM7,000 diragut, namun tekad mangsa yang juga pemilik pasar mini memasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendatangkan hasil apabila aksi dan wajah peragut berjaya dirakam sepanjang kejadian.
CCTV itu yang dipasangnya dua bulan lalu merakamkan aksi penjenayah yang berbaju T warna hijau, berseluar jeans biru dan memakai helmet itu dilihat berpura-pura membeli rokok dan air minuman bagi memastikan tiada pembeli berada di kedai berkenaan sebelum bertindak menyamun mangsa.
Mangsa, Jumma Beevi Khadir Ibrahim, 44, berkata, ketika kejadian pada jam 5.50 petang kelmarin, dia didatangi seorang lelaki untuk membeli rokok dan air minuman manakala, rakannya menunggu di atas motosikal di hadapan kedainya.
“Keadaan lelaki itu seolah-olah mabuk. Ketika dia memasang api rokok, dia seolah-olah bercakap dan menari di hadapan kedai. Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, saya memanggil anak saya di bahagian atas rumah kedai.
“Waktu itu peragut menegur kerana tidak puas hati tindakan saya memanggil anak sebelum dia bertindak kasar meragut rantai emas saya. Kemudian dia lari bersama rakannya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Menurutnya, peragut berkenaan adalah pelanggan biasanya dan selalu membeli barangan di kedainya.
“Memang selalu nampak dia datang ke kedai kami untuk membeli barang. Jadi, pada mulanya tidak syak apa-apa. Namun, kelakuan dia semalam (kelmarin) agak berlainan dari biasa.
“Saya tidak lagi memakai rantai ketika menjaga kedai kerana bimbang kejadian ragut berulang lagi. Dan nasib baik anak saya tidak apa-apa ketika ingin cuba menangkap lelaki itu,” katanya.
Detik-detik cemas itu adalah yang ketiga dialaminya sementara keputusan untuk memasang CCTV dibuat setelah pasar mininya mengalami dua kejadian serupa sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian itu dan pihaknya akan mengesan identiti suspek dua lelaki berkenaan.
“Buat masa ini, pihak kami belum dapat mengenal pasti identiti mereka dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan menggunakan kekerasan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan