12 Syaaban 1432H. [MOD] -
KOTA BHARU – Perhimpunan pilihan raya bersih dan adil (Bersih) 2.0 yang disertai rakyat Malaysia seluruh dunia termasuk di Australia, Mesir, Kanada, England dan Taiwan membuktikan isu-isu yang dituntut memang wujud dan dikehendaki rakyat negara ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, demonstrasi aman Sabtu lalu mendapat sambutan menggalakkan seluruh rakyat pelbagai kaum bukan sahaja di Malaysia malah di bandaraya negara lain.
“Isu untutan yang dibawa Bersih 2.0 adalah isu yang sah dan yang betul wujud serta ia dikehendaki rakyat Malaysia dan dikongsi rakan-rakan yang berada di negara luar.
“Oleh itu kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak harus mengambil berat pandangan rakyat dalam lapan tuntutan Bersih 2.0 bagi memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Kelantan Barat di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10, di sini, semalam.
Husam yang juga Exco Kerajaan Kelantan berkata, beliau menyokong selagi tuntutan yang dikehendaki rakyat tidak dipenuhi, rakyat akan memakai baju kuning setiap Sabtu bermula 16 Julai ini sebagai tanda perpaduan yang berterusan.
Katanya, perhimpunan itu yang disertai pelbagai kaum menunjukkan perpaduan yang wujud pada masyarakat negara ini yang menuntut pilihan raya bersih sepenuhnya.
Menurutnya, rakyat negara ini boleh melihat gambar-gambar yang tersebar luas menunjukkan kerjasama antara masyarakat India, Melayu dan Cina ketika menyertai perhimpunan berkenaan.
“Bagi saya ia sangat bermakna dan ini membuktikan rakyat Malaysia boleh hidup aman damai dan bersatu sekiranya pemerintah dapat melaksanakan dasar-dasar yang boleh menimbulkan perpaduan di kalangan rakyat,” katanya.
Mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang mengatakan hanya sekitar 5,000 hingga 6,000 hadir pada demonstrasi itu, Husam menyangkalnya kerana bukti menunjukkan hampir puluhan ribu rakyat yang hadir ketika itu.
“Ini bukan zaman 60-an lagi, masyarakat mudah percaya apa yang dipaparkan akhbar kerana media elektronik kini lebih pantas dan siarkan gambar videonya sekali keadaan demonstrasi itu,” katanya.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan