14 Julai 2011

Tiga letupan gegar Mumbai

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

PENYIASAT mengumpul bukti serangan di kawasan Dadar di Mumbai.

SUASANA kelam-kabut selepas tiga letupan menggegarkan Mumbai.

20 maut serangan di kawasan pusat bandar ketika waktu puncak

MUMBAI: Tiga letupan menggegarkan kota kewangan India, Mumbai, semalam ketika waktu puncak menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang maut dan lebih 80 lagi cedera.
Satu letupan berlalu di Opera House, sebuah lokasi pelancongan di selatan Mumbai, tempat militan berpangkalan di Pakistan melancarkan serangan pada 2008 menyebabkan 166 terbunuh.

Letupan kedua juga di selatan kota itu bertempat di pusat berlian Zaveri Bazaar manakala letupan ketiga adalah di Dadar, pusat bandar itu yang terkenal dengan industri filem Bollywood.

Stesen berita CNN-IBN melaporkan, polis memberitahu mereka bahawa letupan itu adalah daripada bom buatan sendiri (IED) dan berlaku di kawasan padat penduduk khususnya ketika waktu puncak.

“Disebabkan serangan berlaku hampir serentak, ini adalah serangan pengganas,” kata Menteri Dalam Negeri, Palaniappan Chidambaram.

Siaran televisyen CNN-IBN menunjukkan serpihan besi, motosikal dan kereta yang rosak teruk di kawasan kejadian.
“Kami ada dalam pejabat apabila satu bunyi kuat kedengaran. Keadaan kelam kabut di luar, kami lihat trak bomba dan anggotanya membawa dua atau tiga mayat,” kata seorang saksi, Jasraj Jain.

Tiga letupan itu berlaku dalam tempoh 15 minit antara 6.45 petang hingga 7 malam waktu tempatan.

Saksi di luar bangunan urus niaga berlian di selatan Mumbai berkata, letupan kereta berlaku pada round 6.45 petang.

“Ramai orang cedera teruk. Kami tidak tahu berapa ramai mati tetapi letupan itu memang kuat,” kata peniaga warung, Nimesh Mehta, 38.

“Saya mahu kerajaan segera ambil langkah untuk menyiasat siapa yang menjadi dalang serangan ini,” kata Manohar Joshi yang mengetuai cawangan parti Shiv Sena di sini, ketika mengunjungi satu daripada tempat kejadian.

Pesuruhjaya Polis Mumbai, Arup Patnaik, memberitahu stesen televisyen bahawa IED itu diletak dalam payung di Zaveri Bazaar.

Seorang wartawan dekat Opera House berkata, anggota polis mengadakan sekatan di satu tempat letupan dan menghantar anjing pengesan bagi mencari sebarang kesan bukti manakala ambulans dan anggota bomba turut bersiap sedia.

Kementerian Dalam Negeri juga mengeluarkan arahan supaya kawalan keselamatan diperketatkan di seluruh negara.

Letupan terbaru mengingatkan semula kepada keganasan tiga tahun lalu apabila militan Lashkar-e-Taiba yang berpangkalan di Pakistan, dipersalahkan.

Selain 2008, serangan lain ke atas Mumbai berlaku pada 1993 yang menyaksikan 260 orang maut di sekitar bursa saham dan kawasan lain.

Selain itu, pada 2006, lebih 180 orang terbunuh apabila militan melakukan serangan terhadap beberapa kereta api penumpang. – AP/AFP/Reuters

Tiada ulasan: