14 Julai 2011

Henti tangkap rakyat pakai baju-T Bersih

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 14 Julai: Meskipun Himpunan Bersih 2.0 sudah berlalu Sabtu lalu, namun pasukan keselamatan masih menangkap orang awam yang memakai baju T Bersih berwarna kuning.

Seorang aktivis PAS Suhaimi Abdullah ditangkap ketika berniaga di pasar malam di sini, kelmarin kerana memakai baju kuning Bersih.

“Kira-kira pukul 6.40 petang ketika saya sedang berniaga, empat orang anggota polis menghampiri lalu menahan saya kerana kesalahan Seksyen 47 Akta Pertubuhan.

“Saya dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Temerloh menaiki kereta peronda dan disoal siasat. Alhamdulillah kira-kira pukul 10 malam saya dibebaskan dengan jaminan sahabat,” katanya ketika ditemui di hadapan balai polis.

Menurut Suhaimi beliau tidak gentar cuma sedih dengan sistem demokrasi negara sehinggakan memakai baju kuning pun ditangkap sedangkan perhimpunan sudah selesai.

Sementara itu, peguam Ahmad Nizam Hamid yang turut berada di balai polis, meminta supaya pihak berkuasa menghentikan penangkapan orang awam yang memakai baju kuning kerana masih ada kes di mahkamah.

“Bersih 2.0 telah memfailkan penghakiman untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengatakan Bersih haram. Jadi pihak keselamatan perlu hormati mahkamah dengan berhenti menangkap sehingga keputusan semakan (judicial review) itu keluar.

“Apa kata jika mahkamah putuskan Bersih bukan pertubuhan haram? Tidakkah tindakan menangkap itu sia-sia?” soalnya.

Serentak itu beliau meminta mana-mana pihak berhenti daripada mengganggu rakyat yang memakai baju-T Bersih.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: