15 Ogos 2011

Jalan pintas paling berbahaya

15 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PENGGUNA hadapi risiko dirempuh kereta api ketika melalui jalan pintas landasan Alor Pongsu, Bagan Serai.
Peniaga maut dirempuh kereta api kejadian kesebelas di Alor Pongsu

BAGAN SERAI: Kejadian sebuah kenderaan dirempuh kereta api ketika melintasi landasan di Alor Pongsu dekat sini, Rabu lalu, adalah kejadian kesebelas di lokasi sama, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk yang sering menggunakan laluan itu sebagai jalan pintas untuk ke beberapa pekan di sini.

Dalam kejadian terbaru, peniaga, Choo Cheng Phang, 46, meninggal dunia selepas keretanya dirempuh kereta api penumpang ketika melintasi landasan berkenaan.

Kejadian lain yang pernah berlaku di laluan sama membabitkan empat pejalan kaki, empat kereta dan dua motosikal yang mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Walaupun mengetahui berbahaya, kira-kira 10,000 penduduk yang tinggal di lapan kampung pedalaman terpaksa menggunakan laluan itu sama ada berjalan kaki, berbasikal, bermotosikal, berkereta atau menggunakan kenderaan ringan lain untuk ke Pekan Alor Pongsu dan Bagan Serai.

Selain itu, tidak kurang 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah serta sekolah agama yang terletak di Alor Pongsu juga menggunakan laluan sama setiap hari.

Mereka yang terdedah kepada risiko itu termasuk dari Parit Lebai Kadir, Parit Air Hitam, Parit Haji Ali, Parit Haji Taib, Parit Mentara dan Parit Ban Pisang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, berkata lintasan di Alor Pongsu itu memang tidak diiktiraf oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Laluan itu berbahaya dan berisiko tinggi dirempuh kereta api, namun penduduk tiada pilihan sebaliknya terus menggunakannya.

"Jalan alternatif lain untuk ke Alor Pongsu dan Bagan Serai pula terlalu jauh. Sebelum ini, pelbagai pihak mencadangkan supaya dibina jejambat yang boleh dilalui pelbagai kenderaan, namun KTMB tidak dapat menerima dan melaksanakannya cadangan itu kerana kos tinggi," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Sham berkata, pihaknya hanya boleh menasihati penduduk agar tidak melintasi landasan di situ kerana ia berbahaya.

Beliau berkata, masalah itu hanya akan selesai apabila pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar yang melalui kawasan berkenaan selesai tahun depan.

“Sebuah terowong akan dibina di bawah landasan baru sekali gus membolehkan penduduk melintasi jalan tanpa perlu berdepan kemungkinan dirempuh kereta api.

“Malah, KTMB juga membina jejantas yang boleh dilalui pejalan kaki dan penunggang motosikal di Batu 38, Jalan Keretapi, manakala laluan bawah landasan dibina di beberapa laluan lain seperti di Parit Mentara.

"Bagi meningkatkan perhubungan, kerajaan negeri dan kerajaan Pusat sudah meluluskan rancangan membina jalan baru dari Batu 40, Jalan Keretapi Bukit Merah hingga ke Ban Abu Hassan dan dari Ban Abu Hassan hingga ke Parit Lebai Kadir sejauh antara lima hingga enam kilometer dengan kos dianggarkan RM620,000 dan dijangka dilaksanakan tahun depan,” katanya.

Apabila jalan baru itu siap kelak, orang ramai dan penduduk Batu 38 dan Batu 40 Jalan Keretapi serta Parit Lebai Kadir, Parit Mentara, Parit Haji Ali, Parit Haji Taib, Parit Air Hitam dan beberapa kawasan lain boleh menggunakan kemudahan jalan baru itu untuk ke Alor Pongsu, Bagan Serai dan Selama.

BERITA HARIAN/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cakap x serupa bikin ......