15 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Kenyataan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof baru-baru ini bahawa tiada daftar pemilih yang bersih di dunia ini jelas menggambarkan sikap sebenar suruhanjaya itu yang tiada niat untuk memihak kepada rakyat bagi bersungguh-sungguh membersihkan daftar pemilih, kata PAS.
"Kenyataan ini jelas menggambarkan sikap sebenar SPR, yang tiada niat langsung untuk memihak kepada rakyat untuk bersungguh-sungguh membersihkan daftar pemilih yang ada.
“Jawapan ini mengingatkan kita kepada kisah Pak Pandir yang menyatakan 'bukan anak kita je mati, anak orang lain mati jugak',” kata ketua penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan media.
Kecelaruan dalam daftar pemilih SPR yang didedahkan oleh media bukan sahaja mempunyai penduduk tetap (PR) didaftarkan sebagai pengundi tetapi nama Kg Baru juga diiktiraf sebagai pengundi serta penemuan sejumlah pengundi klon yang membimbangkan.
Pwngundi klon adalah mereka yang didaftarkan di bawah nama dan kad pengenalan lama yang sama tetapi nombor MyKad berlainan untuk klon mereka.
Kesilapan teknikal
Setelah diasak dengan pelbagai bukti kelemahan dalam daftar pemilih negara, SPR dan Abdul Aziz menyalahkan “kesilapan teknikal” yang berlaku semasa proses pendataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)”.
“Dalam daftar pemilih kita ada lebih kurang 12.3 juta pengundi dan sudah tentu akan berlaku kesilapan sana dan sini, seluruh dunia pun ada masalah yang sama ... tiada dunia yang daftar pemilihnya sempurna.
"Janganlah perbesarkan kesilapan ini, semua yang berlaku ini tidak dirancang oleh SPR, SPR bukan sengaja mahu benarkan mereka mengundi dua kali, kadang-kadang akan berlaku kesilapan semasa pendataan (oleh JPN), silap letak dan kami akan semak, kalau tak betul kami akan buang,” katanya.
Bagi Tuan Ibrahim yang juga adalah Pesuruhjaya PAS Pahang, kepincangan dan kecelaruan itu hanya menggambarkan kelemahan SPR dan JPN.
"Pengakuan SPR ini jelas kepada rakyat kenapa himpunan BERSIH 2.0 diadakan dan kini rakyat mula nampak akan hasil himpunan tersebut.
Jual negara
“Bayangkanlah, undi warga asing sudah boleh menentukan keputusan politik dan masa depan negara - siapakah yang telah menjual negara secara senyap-senyap demi kekal berkuasa dengan cara yang haram?” soal Tuan Ibrahim.
Justeru, katanya, SPR perlu melakukan segera pembaharuan bagi membina keyakinan rakyat khususnya parti- parti politik terhadap sistem pilihan raya yang bersih dan adil.
“Dengan keruntuhan keyakinan rakyat jelata terhadap kelayakan SPR menjadi pengadil pilihan raya sekarang inilah yang menuntut satu reformasi dalam sistem pilihan raya kita bagi membina keyakinan tinggi kepada semua pihak supaya keputusan pilihan raya umum nanti dapat diterima dengan hati terbuka dan tanpa was-was.
"Masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki, seperti undi pos yang terdedah kepada pelbagai manipulasi, persempadanan pilihan raya yang tidak adil, pengundian bertindih, tuntutan daftar automatik dan sebagainya,” katanya lagi.
malaysiakini/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan