KUALA LUMPUR, 20 Sept: Kerajaan hendaklah menghantar nota protes kepada kerajaan Bangladesh kerana kecuaian yang menyebabkan penyiaran tuduhan yang memalukan Malaysia dalam laman web pejabat Perdana Menteri negara itu, kata Datuk Mahfuz Omar.
Kerajaan juga hendaklah memanggil Duta Bangladesh ke negara ini bagi menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap kecuaian yang menyebabkan nama Malaysia tercemar itu. "Itu pun jika benar dakwaan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Bangladesh bahawa kerajaan Bangladesh tidak menyedari mengenai artikel itu," katanya. Jumaat lalu, laman Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri Bangladesh dikesan menyiarkan artikel yang mengesahkan sebilangan pekerja negara itu dalam beberapa sektor di Malaysia diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu serta diberi hak mengundi dengan syarat mereka mengundi parti yang mewakili kerajaan yang berkuasa. Artikel itu menyatakan ia memetik "sumber yang boleh dipercayai" dari Pejabat Perdana Menteri Bangladesh. "Apa yang tersiar itu amat memalukan negara dan adalah amat pelik dan ganjil jika kerajaan negara ini berdiam diri begitu sahaja. "Jika benar kerajaan Bangladesh tidak sedar dan tidak terlibat dengan penyiaran artikel itu, ia tetap bersalah atas kecuaian sehingga menyebabkan artikel tersebut tersiar begitu lama dalam laman web pejabat Perdana Menteri negara itu. "Kerajaan Malaysia perlu membersihkan namanya dengan menghantar nota protes dan memanggil duta Bangladesh bagi menyampaikan rasa tidak puas hati," kata Mahfuz (gambar). Jika kerajaan enggan membersihkan namanya, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, ia akan menguatkan lagi keyakinan umum bahawa perkara itu memang berlaku memandangkan apa yang tersiar dalam laman web itu mempunyai persamaan yang sangat ketara dengan apa yang berlaku dalam negara ini. Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak pendedahan mengenai warga asing yang diberikan status kerakyatan dan kemudian disenaraikan dalam daftar pemilih. Daftar Pemilih yang bersih adalah salah satu dari lapan tuntutan utama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini. Tuntutan lain ialah supaya SPR mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
H/daily
|
20 September 2011
Bangladesh: Malaysia patut hantar nota protes
22 Syawal 1432H. [MOD] -
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan