22 Syawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 20 Sept: Walaupun langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan ISA dialu-alukan, namun pengumuman kerajaan untuk menggantikan ISA dengan dua model akta lain yang terdiri daripada Patriot Act di USA dan Anti Terrorism Act di UK dilihat oleh pelbagai pihak sebagai langkah yang amat tidak tepat.
Sebaliknya, kerajaan seharusnya tidak meniru akta yang dilaksanakan di USA dan UK itu kerana ternyata keadaan di kedua-dua buah negara tersebut tidak sama dengan di Malaysia.
Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, jika kerajaan ingin juga meniru kedua-dua akta tersebut, seharusnya kerajaan juga mesti memperkenalkan undang-undang yang boleh mengimbangi sifat arbitrari kedua-dua akta itu dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.
Menurut beliau, sekiranya prinsip hak asasi tidak diperkukuhkan, tiada guna ISA itu dihapuskan dan digantikan dengan dua akta baru yang lebih menekan dan bersifat opresif kerana ia ibarat pepatah Melayu “Keluar mulut buaya, masuk mulut harimau”.
Katanya, di samping itu, sayugia juga dimaklumkan bahawa beberapa pindaan telahpun dibuat ke atas Kanun Keseksaan dan beberapa akta lain berhubung dengan kesalahan berkaitan terorisme itu.
"Juham berpandangan adalah wajar kerajaan mempelajari falsafah perundangan Islam yang tidak membenarkan kebebasan seseorang itu disekat melainkan dengan bukti yang nyata," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.
Juham seperti juga parti-parti pembangkang dan NGO-NGO lain, menurut beliau, sememangnya menyambut baik langkah Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).
Katanya, tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu, Kerajaan bakal memperkenalkan dua lagi akta baru bagi menggantikan ISA.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula, katanya, mendedahkan bahawa dua akta baru yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan itu adalah berasaskan kepada Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom.
"USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W Bush pada 6 Oktober 2001.
"Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan 11 September 2001. Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan, kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing.
"Akta ini juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan," katanya.
Perlaksanaan akta itu, jelas beliau, telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia kerana sifat akta itu yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan pemilik dan kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan tanpa waran mahkamah.
"Harus dinyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat oleh agensi berkenaan adalah salah dan bercanggah dengan perlembagaan," katanya.
Manakala di United Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh kerajaan negara itu kira-kira dua bulan selepas serangan 11 September 2001 dengan memperkenalkan Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001.
Ciri penting akta itu, katanya, adalah kuasa untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahan tanpa bicara tanpa had masa. Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan United Kingdom.
"Pihak Kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana faktor-faktor keselamatan," jelasnya.
Penggunaan akta itu telah dicabar di Mahkamah dan House of Lords pernah memutuskan bahawa penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Human Rights Act 1998 kerana bersifat diskriminasi, memandangkan akta itu membezakan tindakan ke atas warga asing dan warga UK sendiri.
Menurutnya, oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan satu akta baru, iaitu Prevention of Terrorism Act 2005 bagi meremedikan masalah diskriminasi itu.
"Di bawah akta baru ini, tiada perbezaan antara tahanan warga asing atau warga tempatan. Namun, akta baru ini juga tidak sunyi daripada dicabar di mahkamah," katanya.
H/daily
1 ulasan:
Dear tuan, saya mengaitkan laman web anda.Saya berharap anda tidak keberatan untuk menghubungkan saya kembali.
ini laman web saya http://allanpakdoe.blogspot.com
Catat Ulasan