22 Syawal 1432H. [MOD] -
SEBELUM... Kembar siam Rital dan Ritag yang bercantum di kepala.
SELEPAS... Kembar siam Rital dan Ritag sihat selepas pembedahan.
LONDON: Dua bayi perempuan kembar siam yang bercantum di kepala telah selamat dipisahkan oleh kumpulan doktor di Britain.
Rital dan Ritag Gaboura, yang berusia 11 bulan adalah pasangan kembar siam, satu antara 10 juta di dunia.
Pasangan kembar ini telah melalui empat pembedahan kompleks di Hospital Kanak-kanak Great Ormond Street di London.
Mereka yang dilahirkan di Khartoum, Sudan, dibawa oleh ibu bapa mereka, Abdelmajeed Gaboura 31 dan Enas, 27,kedua-dua mereka adalah doktor perubatan ke Britain untuk menjalani pembedahan. Sewaktu mereka tiba, jantung Ritag sungguh lemah.
Doktor melakukan empat fasa pembedahan. Dua pembedahan awal dilakukan Mei lalu sebelum penambahan tisu dilakukan Julai lalu.
Akhirnya pembedahan untuk memisahkan kembar siam itu dilakukan pada 15 Ogos lalu.
Ibu bapa bayi kembar itu telah meminta bantuan kewangan daripada satu badan kebajikan untuk kanak-kanak, Facing the World, yang bersetuju untuk membiayai kos pembedahan itu.
Bayi kembar siam itu mengalami keadaan yang jarang ditemui iaitu ‘craniopagus’ di mana mereka bercantum di bahagian kranium dan pembedahan itu dilakukan oleh sepasukan doktor yang diketuai oleh Dr David Dunaway.
Kenyataan Facing the World berkata, “Dalam masa beberapa hari saja, kembar itu sudah ditempatkan di wad biasa dan mereka berinteraksi dan bermain seperti biasa.
“Tawa dan kegembiraan mereka memberi inspirasi setelah berbulan merasa bimbang terhadap kesihatan mereka.
“Tidak lama lagi, ibu bapa mereka boleh membawa anak kembar mereka yang sihat, pulang.” Kata ibu bapa kembar itu, “Kami bersyukur kerana akan dapat membawa anak-anak kami yang sudah terpisah dan sihat, pulang.
“Kami juga berterima kasih kepada semua doktor atas usaha merka dan juga kepada Facing the World yang telah membantu dari segi logistik dan membiayai kos pembedahan ini. “Kami merasa bertuah anak kembar kami dapat menjalani pembedahan yang diperlukan,
tapi kami juga faham ada kanak-kanak lain yang memerlukan pembiayaan pembedahan dan keluarga mereka yang terpaksa bertungkus-lumus cuba mendapatkan bantuan.” Kembar siam jarang berlaku. Ia hanya terjadi, satu dalam 100,000 kelahiran dan tiga kali ganda kes berlaku kepada bayi perempuan.
Dalam dua pertiga kes yang berlaku, kembar siam bercantum di bahagian tengah badan. Hanya empat peratus dari kes kembar siam yang bercantum di kepala dan kebanyakannya meninggal ketika dilahirkan atau tidak dapat hidup lebih daripada 24 jam.
Kembar Rital dan Ritag merupakan kes kembar siam yang sangat serius kerana mereka berkongsi salur darah dan aliran darah yang ketara ke otak mereka.
Ritag membekalkan separuh daripada darah ke otak saudara kembarnya dan mengalirkannya kembali ke tubuhnya - ini bermakna jantungnya bekerja untuk kedua-dua mereka.
Sekiranya berlaku kekurangan dalam tekanan darah mereka yang ketara ketika pembedahan, akan menyebabkan kecederaan otak.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan