12 September 2011

Lucutkan gelaran profesor dari Zainal Kling

14 Syawal 1432H. [MOD] -

PULAU PINANG, 12 Sept: Anggota Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof mendesak Majlis Profesor Negara (MPN) melucutkan keahlian Profesor Zainal Kling dari mengganggotainya di samping melucutkan gelaran profesor beliau.

Ini ekoran kenyataan Zainal bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan hanya dinaungi sahaja. 

Kenyataan sebegini bagi beliau menghina pejuang kemerdekaan selama ini kerana jikalau bukan penjajahan mengapakah adanya istilah 'pejuang kemerdekaan'?

"Saya juga menuntut beliau menarik balik kenyataannya bahawa kita tidak dijajah, kita hanya dinaungi oleh British," katanya. 

Jika beliau tidak menarik balik, ini menandakan bahawa seluruh rakyat Malaysia yang masih hidup dan yang mati selama ini telah ditipu dengan mempercayai bahawa kita telah dijajah sedangkan kita hanya dinaungi sahaja. 

"Saya menyeru kepada Kementerian Pelajaran supaya mengambil tindakan yang tegas terhadap Profesor ini yang menimbulkan kekeliruan yang amat berbahaya terhadap perjuangan bangsa yang terbina selama ini," katanya.

Bagi Dr Mujahid Yusof, kenyataan Zainal Kling adalah sesuatu yang memalukan dan menjatuhkan kredebiliti beliau sebagai ahli akademik yang sayangkan perjuangan bangsanya. 

Kenyataan beliau yang mewakili MPN (Majlis Profesor Negara) menghina perjuangan bangsa yang selama ini menjadi sumber inspirasi generasi anak merdeka, kata Mujahid (gambar) yang juga AJK PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS. 

"Kurikulum sejarah sekolah-sekolah sejak sekian lama memahamkan pelajar kita bahawa British adalah penjajah dan kita merdeka dari penjajah dengan laungan Merdeka! 

"Ia tidak memerlukan seorang Profesor untuk memahami bahawa 'MERDEKA' membawa pengertian kebebasan dari sesuatu penjajahan dan bukan naungan," kata Mujahid.

Kenyataan Zainal juga, katanya, turut menghina pejuang bangsa selama ini kerana jikalau bukan penjajahan mengapakah adanya istilah ' pejuang kemerdekaan'? 

"Mengapakah adanya semangat nasionalisma menentang penjajahan British? Bukankah perjanjian pangkor menandakan penjajahan kepada kekayaan negara dan eksploitasi kekayaan hasil bumi untuk memberikan kekayaan kepada penjajah?" kata beliau.

Beliau bertanya lagi, tidak cukupkah maruah bangsa diinjak apabila anak bangsa tidak ada suara dalam menentukan nasib bangsanya selama dijajah? 

"Saya tidak tahu apa maksud Profesor ini apabila memutarbelitkan istilah penjajah kepada penaung? Adakah beliau mahu mengatakan bahawa generasi anak merdeka telah ditipu oleh buku-buku sejarah atau tawarikh yang kita baca di bangku sekolah dan di universiti?" soalnya.

Tiada ulasan: